Jamawi (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir dalam majlis itu.
TENOM: Tenom menyasarkan pengeluaran kopi tempatan mampu memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan empat kilang kopi di daerah itu menjelang 2030, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata usaha meningkatkan pengeluaran kopi akan dipergiatkan menerusi galakan kepada orang ramai untuk mendaftar tanah masing-masing bagi tujuan penanaman kopi.
“Bagi tahun ini, kita membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menanam kopi supaya mendaftarkan tanah masing-masing.
“Setakat ini, kita telah memperoleh kira-kira 70 ekar bagi tanaman kopi baharu di Tenom dan saya berharap jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Melalap berkata demikian ketika berucap pada Pesta Kopi Tenom 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanum, di sini, hari ini.

Jamawi (dua dari kanan) menyampaikan plak yang telah ditandatangani kepada Dick Lee.
Jamawi berkata lebih banyak sokongan akan diusahakan bagi membantu petani yang berminat mengusahakan tanaman kopi, sekali gus meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan kopi di daerah itu.
Menurutnya, tanaman kopi memerlukan kira-kira tiga tahun sebelum mula mengeluarkan hasil, manakala harga kopi kering ketika ini dianggarkan RM20 sekilogram.
Beliau berkata antara cabaran yang perlu ditangani ialah proses pengeringan kopi bagi memastikan hasil pengeluaran dapat diuruskan dengan lebih baik.
“Masalah berkaitan pengeringan dan sebagainya akan kita cuba atasi melalui pembinaan kilang pengeringan kopi di Tenom.
“Projek itu telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ketika ini, ia sedang dalam proses tender,” katanya.
Beliau berharap usaha memperluaskan penanaman kopi dan penyediaan kemudahan pemprosesan dapat meningkatkan pengeluaran kopi Tenom serta memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri tempatan.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ts. Hj Jifrin Hj Mohamad; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pengerusi Persatuan Pengusaha Kopi Tenom Sabah, Tham Yau Siong; Pengerusi Borneo Coffee Alliance (BCA), Dick Lee; Ketua Daerah Tenom dan Kemabong, OKK Tusip Tulas dan OKK Biau Suyan; Ketua Polis Daerah Tenom, Supt. Azmir Abd Razak serta Ketua-ketua jabatan dan agensi MAFFI.
Terdahulu, Jamawi bersama Alexander serta pegawai kementerian yang lain menyambut ketibaan para penumpang keretapi Ekspress dari Tanjung Aru – Tenom yang pertama pada hari ini. Dijadualkan bahawa perkhidmatan tren keretapi khas ini berjalan selama tiga hari bermula hari ini (23 Okt) sehingga Ahad ini.





























