Hajiji disambut oleh para pemimpin GRS setibanya di Dewan Tun Mustapha, Kudat, bagi menghadiri Konvensyen GRS 2026, hari ini.
KUDAT: Kerajaan Sabah kini bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan, daripada mengekalkan kestabilan politik kepada memperkasa keupayaan sebenar negeri untuk terus maju dan makmur selaras dengan semangat serta matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata fasa lima tahun pertama pentadbirannya ditumpukan kepada usaha menstabilkan politik, memperkukuh kewangan, memantapkan pentadbiran, membina keyakinan pelabur, memperjuangkan hak negeri dan merintis semula projek tertangguh.
Katanya, kestabilan perlu dimanfaatkan untuk menarik pelaburan, membina infrastruktur dan merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bukannya sekadar memastikan kerajaan kekal berkuasa.
“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan. Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Hajiji berkata hasil negeri yang berjaya ditingkatkan sehingga mencecah RM7 bilion setahun bukan untuk dimegah-megahkan, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, peluang dan pendidikan agar kehidupan rakyat jelata lebih terbela.
Beliau mengakui rakyat masih berdepan masalah asas, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik, namun kerajaan negeri sedang melaksanakan usaha berskala besar menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk 173 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air.
Katanya, projek berkenaan merangkumi pembinaan serta penaiktarafan jambatan, rangkaian jalan raya, loji rawatan air dan sistem bekalan air di seluruh negeri. Pelaksanaannya memerlukan masa untuk melalui proses reka bentuk, pengambilan tanah, tender dan pembinaan.
“Masalah yang telah wujud sejak puluhan tahun tidak boleh, malah mustahil dapat diselesaikan dalam satu malam. Tetapi yang penting, kerja-kerja sedang dijalankan. Walau sesukar mana pun cabarannya, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti sehingga segala masalah dapat diselesaikan,” katanya.
Mengenai tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak ekonomi negeri, Hajiji berkata perkara itu terus menjadi keutamaan kerana berkait langsung dengan kekuatan kewangan negeri dan kemampuan menyediakan pembangunan lebih baik kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri menggunakan fakta, data kewangan, asas perundangan dan persediaan teknikal lengkap bagi memastikan tuntutan dibawa secara berkesan di meja rundingan, sambil mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Yang penting, Sabah mendapat hasil. Yang sudah muktamad, kita laksanakan; dan yang masih interim, kita usahakan sehingga dimuktamadkan. Yang belum selesai, kita teruskan rundingan dengan hujah dan asas yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam sektor minyak dan gas, beliau berkata pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (Commercial Collaboration Agreement atau CCA) bersama PETRONAS pada 2021 menjadi titik tolak penting dalam meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri berkenaan.
Menerusi SMJ Energy, katanya, Sabah kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Contract atau PSC) Samarang, selain penyertaan dalam sektor minyak, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia.
Penglibatan vendor tempatan turut meningkat daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak pada 2025.
Katanya, matlamat kerajaan bukan sekadar memperoleh hasil daripada pengeluaran minyak dan gas, tetapi memastikan rakyat menikmati manfaat lebih besar melalui peluang perniagaan, pembangunan kepakaran tempatan, pemilikan dan aktiviti hiliran industri berkenaan.
Menyentuh pendidikan, Hajiji berkata pengalaman membesar dalam keluarga susah mendorongnya memastikan kemiskinan tidak menghalang anak Sabah daripada mendapat peluang untuk maju.
Beliau berkongsi pengalaman ketika hendak menduduki peperiksaan Tingkatan Tiga atau LCE pada 1971, apabila ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran RM15.
Katanya, atas kesedaran itu, kerajaan meneruskan 14 inisiatif bantuan pendidikan selaras dengan Teras Kedua Hala Tuju SMJ, iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, termasuk bantuan BUDI, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan mahasiswa menerusi SUBFLY.
Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), katanya, meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta pada 2026, manakala hampir 480,000 pelajar telah menerima manfaat pelbagai bentuk bantuan atau insentif pendidikan.
“Sekiranya Kerajaan berkemampuan untuk menghilangkan satu halangan daripada perjalanan hidup seorang anak Sabah untuk maju dan berjaya, maka kita harus hilangkan halangan tersebut. Sekurang-kurangnya jangan kita biarkan kemiskinan menentukan nasib mereka sebelum mereka sempat mencuba,” katanya.
Dalam usaha membantu golongan memerlukan, Hajiji berkata kerajaan meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan inisiatif Rumah Mesra SMJ, dengan 11,000 rumah sudah dan sedang dibina setakat ini.
Katanya, tahun ini kerajaan meneruskan pembinaan 50 Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mempunyai rumah.
Beliau menegaskan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat mesti bergerak seiring kerana kemajuan Sabah hanya bermakna apabila hasil pembangunan dan kemakmurannya dapat dinikmati seluruh rakyat, termasuk mereka yang tinggal di desa dan pedalaman.






























