Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua warga kerja KPD yang hadir dalam majlis itu.
PAPAR: Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta tahun ini selepas mencatatkan jualan kira-kira RM106 juta tahun lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan pelbagai aktiviti pertanian dan perusahaan agro-makanan yang dilaksanakan KPD bersama masyarakat kampung.
Beliau berkata KPD mengusahakan pelbagai aktiviti termasuk penternakan kambing tenusu, penghasilan aiskrim dan produk kambing, penanaman cendawan, penternakan ayam kampung dan ayam daging serta kebun buah-buahan seluas 400 hektar di Kampung Lingkungan.
“Bagi saya, saya berpuas hati dengan aktiviti yang dilaksanakan KPD dan mudah-mudahan tahun ini mereka akan mencapai sekali lagi sasaran jualan RM100 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KPD di Pejabat KPD Wilayah Pantai Barat di sini hari ini.
Jamawi berkata hasil keluaran masyarakat kampung yang dipasarkan melalui tamu KPD dan pelbagai aktiviti seumpamanya merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan ekonomi mikro di peringkat komuniti.
Beliau berkata usaha itu memberi manfaat kepada masyarakat tani, penternak dan mereka yang aktif dalam sektor agro-makanan, selain membantu memasarkan produk tempatan.
Mengulas sambutan terhadap karnival berkenaan, beliau berkata kehadiran pengunjung seawal 7.30 pagi menunjukkan sambutan yang menggalakkan walaupun promosi hanya dibuat melalui Facebook dan media sosial.
Katanya, karnival itu merupakan aktiviti sampingan bagi memeriahkan sambutan 50 tahun KPD dan bukan acara tamu KPD yang lazimnya mendapat promosi lebih meluas.
Beliau turut membeli beberapa produk keluaran peserta, termasuk cendawan dan buah-buahan, sebagai tanda sokongan kepada pengusaha tempatan.
Jamawi berharap sokongan sedemikian dapat menyuntik semangat kepada masyarakat untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti pertanian bersama KPD.
Sementara itu, beliau berkata akan meneruskan lawatan kerja ke Tenom dengan menghadiri beberapa program, termasuk merasmikan satu program di Masjid Pekan Tenom pada 10 pagi, menghadiri mesyuarat dan pesta kopi serta melawat beberapa rumah yang terjejas akibat banjir dan kebakaran.
Beliau turut dijadualkan bermalam bersama kira-kira 200 peserta perkhemahan antarabangsa di Taman Pertanian Sabah, yang melibatkan peminat aktiviti perkhemahan dari Kalimantan, Sarawak, Brunei dan selatan Filipina.
Menurutnya, program itu turut menjadi platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan Taman Pertanian Sabah sebagai destinasi pelancongan yang mesra kepada peminat aktiviti perkhemahan dan mendaki.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Maria David Edick; Timbalan Pengurus Besar KPD, Andree Alexander Funk dan mantan Pengurus Besar KPD, Kalimin Sahidi.
































