Chester bersama barisan AJK penganjur dan 10 peserta akhir.
KOTA KINABALU: Sebanyak 24 karya ciptaan komposer berjaya mara ke peringkat separuh akhir Pertandingan Mencipta Lagu OST (Original Soundtrack) KREATIF SABAH 2026, dalam usaha memilih 10 lagu terbaik untuk bersaing di pentas akhir pada Disember depan.
Pertandingan anjuran Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) itu dibuka selama empat minggu sejak 1 September 2026 dan menerima 34 penyertaan daripada komposer tempatan.
Pengarah Program, Guadik Ansiw berkata, daripada jumlah itu, sembilan penyertaan didapati tidak memenuhi syarat kelayakan, manakala seorang peserta menarik diri kerana tidak dapat menyediakan penyanyi untuk mempersembahkan karya berkenaan pada peringkat separuh akhir.
Menurutnya, setiap penyertaan dikenakan yuran RM200, manakala ahli persatuan yang bergabung di bawah KREATIF SABAH menikmati kadar khas RM100.
“Sebagai penghargaan kepada para peserta yang berjaya mara ke separuh akhir, pihak penganjur turut menyediakan saguhati tunai RM200 berserta sijil penyertaan,” katanya.
Menariknya, pertandingan itu turut membuka ruang kepada peserta memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses menghasilkan lagu.
Katanya, pendekatan itu membolehkan peserta menggunakan teknologi AI bagi membantu mengurangkan masa dan kos dalam penyediaan karya, selaras dengan perkembangan teknologi dalam industri muzik dan kreatif semasa.
Bagaimanapun, setiap karya yang menggunakan bantuan AI tetap perlu dipersembahkan oleh penyanyi sebenar pada peringkat separuh akhir bagi memastikan elemen vokal dan persembahan manusia kekal menjadi sebahagian penting dalam pertandingan.
Sepuluh karya yang berjaya dipilih ke peringkat akhir ialah Kinasuaban Awagu, Takkan Pernah Ku Lepaskan, Hentikan Lah, Tenang, Senja Di Hujung Waktu, Saat Ku Kembali, Binuluntung Tulan, Setia Menantimu, Anekdot Cinta dan Hujung Cintaku.
Peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada Disember 2026 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM16,000 untuk dimenangi oleh 10 karya finalis.
Selain hadiah utama, pertandingan turut memperkenalkan beberapa kategori khas iaitu Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik, Lagu OST Paling Popular dan Video Muzik Terbaik.
Sementara itu, Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang berkata, pertandingan itu merupakan antara pendekatan baharu yang diperkenalkan KREATIF SABAH bersama persatuan-persatuan gabungannya untuk memberi tumpuan lebih luas kepada aspek pembangunan keusahawanan dan rantaian ekonomi dalam kalangan penggiat seni kreatif Sabah.
“Kita bukan hanya mahu memberi tumpuan kepada penyanyi, tetapi melihat keseluruhan rantaian bermula daripada asasnya iaitu penciptaan lagu, komposer dan penulis lirik, sehinggalah kepada penghasilan, persembahan dan pasaran,” katanya.
Menurutnya, pertandingan itu turut membuka ruang kepada penggiat industri lain seperti penerbit dan pengarah filem, penggiat video serta kumpulan kugiran untuk terlibat secara langsung dalam ekosistem yang dibangunkan melalui pertandingan berkenaan.
Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) berkata, pihaknya merancang menjemput penerbit dan pengarah filem ke pertandingan akhir bagi mendengar sendiri karya yang dihasilkan para finalis.
“Kita mahu mewujudkan satu ruang di mana lagu-lagu yang dihasilkan bukan sekadar berakhir sebagai karya pertandingan, tetapi berpotensi menjadi lagu tema atau OST untuk filem dan drama televisyen yang sedang dirancang atau akan diterbitkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu secara tidak langsung dapat mempertemukan komposer dan pencipta lagu dengan pemain industri filem serta membuka peluang baharu dari segi kerjasama, pelesenan, penerbitan dan penggunaan karya dalam produksi.
Chester turut menjelaskan karya yang tidak berjaya mara ke peringkat akhir tidak semestinya berakhir begitu sahaja, sebaliknya masih mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan.
“Lagu-lagu yang tidak berjaya ke peringkat akhir masih boleh diperbaiki, disusun semula dan dikembangkan untuk tujuan komersial, termasuk didaftarkan dengan badan pengurusan hak cipta seperti MACP atau MRS bagi membolehkan pencipta menikmati kutipan royalti, selain berpotensi untuk diketengahkan kepada pihak penyiaran seperti RTM,” katanya.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memberi kefahaman kepada penggiat seni bahawa sesuatu karya mempunyai nilai ekonomi dan boleh menjadi aset jangka panjang sekiranya diurus, didaftarkan dan dipasarkan dengan baik.
Dalam pada itu, Chester berkata, sektor Ekonomi Jingga (Orange Economy) tidak semestinya memerlukan modal yang besar untuk membuka peluang pekerjaan, sebaliknya boleh memberikan pulangan ekonomi yang signifikan kepada Sabah sekiranya bakat dan produk kreatif tempatan dibangunkan secara lebih tersusun.
“Sabah sebenarnya sudah mempunyai produk dan bakat kreatif yang sangat besar. Rata-rata penggiat seni kreatif kita mempunyai bakat serta karya yang boleh dikembangkan.
“Apa yang diperlukan ialah bagaimana bakat dan produk sedia ada ini dipekejkan, diperkemas dan dipasarkan supaya mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KREATIF SABAH sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) amat mengharapkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, dalam membangunkan ekosistem ekonomi kreatif yang lebih tersusun dan berdaya saing.
“Kami amat mengharapkan agar struktur, dasar dan perancangan ekonomi kreatif yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri sejak 1 Disember 2025 dapat dikongsikan dengan lebih jelas bersama pemain industri.
“Ini penting supaya kami sebagai penggiat dan organisasi industri dapat menyusun strategi, program serta inisiatif yang selari dengan hala tuju dan perancangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Katanya, kerjasama lebih erat antara kerajaan, NGO, persatuan industri dan pemain kreatif amat penting bagi memastikan pembangunan ekonomi kreatif Sabah bukan sahaja menghasilkan aktiviti, tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan, pendapatan, pasaran dan nilai ekonomi yang berterusan kepada penggiat tempatan.
“Kita mahu melihat penggiat seni bukan hanya menghasilkan karya, tetapi mampu menjadikan karya tersebut sebagai sumber pendapatan dan kerjaya. Di situlah nilai sebenar ekonomi kreatif kepada Sabah,” katanya.
Untuk rekod, Chester turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Masiung Bana, Pengerusi Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDCO), atas sumbangan kewangan yang diberikan bagi membantu KREATIF SABAH menjayakan penganjuran pertandingan di peringkat separuh akhir.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi dan presiden persatuan-persatuan yang bergabung di bawah KREATIF SABAH yang turut memberikan sumbangan kewangan dan sokongan bagi memastikan pertandingan itu dapat dilaksanakan.
“Kami berharap sokongan seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang supaya lebih banyak bakat serta karya kreatif tempatan dapat dibangunkan menjadi produk ekonomi yang mempunyai nilai komersial dan mampu membawa nama Sabah ke peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, KREATIF SABAH akan terus mencari ruang untuk membangunkan program yang bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat seni untuk berkarya, tetapi turut membuka laluan kepada pasaran, jaringan industri, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan, selaras dengan aspirasi untuk membangunkan ekosistem ekonomi kreatif Sabah yang lebih tersusun dan berdaya saing.
































