Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang memantau rapat situasi susulan laporan mengenai pegawai perubatan yang tidak melapor diri untuk penempatan mereka di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, walaupun pelantikan dan penempatan pegawai perubatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sentiasa membangkitkan isu kekurangan doktor serta langkah untuk meningkatkan pengambilan dan pengekalan doktor di Sabah.
“Saya sebelum ini telah membangkitkan isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW), selain beberapa cadangan lain, kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan kami serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
“Perkara ini sedang susulan melalui perbincangan yang berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita turut menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah supaya BIW berasaskan peratusan sebelum ini dikembalikan, insentif bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak diperkukuhkan serta bantuan perpindahan ditambah baik.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menunggu keputusan penuh penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum menilai keadaan sebenar yang berlaku.
“Kita akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.































