Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu memberikan ruang kepada Kerajaan melaksanakan agenda pembangunan negeri serta menilai setiap isu berdasarkan fakta dan sumber sahih, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang disebarkan di media sosial.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, sudah tiba masanya semua pihak menumpukan tenaga kepada usaha membangunkan Sabah dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sekarang adalah masa untuk bekerja, melaksanakan tanggungjawab dan membawa pembangunan kepada rakyat, bukannya sentiasa menidakkan atau mencari kelemahan terhadap setiap usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Sebarang teguran dan kritikan terhadap kerajaan sememangnya boleh dibuat, tetapi biarlah ia berasaskan fakta, angka dan maklumat yang benar supaya tidak mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi maklumat membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas, namun tidak semuanya benar atau mempunyai konteks yang lengkap.
“Rakyat perlu bijak meneliti sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya. Jika timbul persoalan mengenai sesuatu dasar, projek atau pencapaian kerajaan, rujuklah kepada kementerian, jabatan atau agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan yang sahih,” katanya.
Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P180 Keningau berkata, pembangunan negeri adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.
“Kerajaan memerlukan ruang dan suasana kondusif untuk melaksanakan perancangan pembangunan. Kritikan yang membina boleh membantu, tetapi jangan sampai perbezaan pandangan mengganggu tumpuan Kerajaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya melihat pembangunan negeri dalam perspektif lebih luas dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang hanya menonjolkan kelemahan tanpa melihat keseluruhan usaha yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya, SMJ bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar, pembangunan ekonomi, peningkatan infrastruktur, kebajikan rakyat dan pengukuhan modal insan.
“Jangan kita terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa kepada tanggungjawab membangunkan negeri. Rakyat mahu melihat pekerjaan dilaksanakan, pembangunan diteruskan dan masalah mereka diberikan penyelesaian.
“Marilah kita sama-sama memberikan tumpuan kepada usaha membina Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera demi kepentingan generasi sekarang dan akan datang,” katanya.






























