Masiung Banah
KOTA KINABALU: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, ucapan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada Persidangan Agung Umno (PAU) 2026 berpotensi mencetuskan konflik perpaduan kaum dan sengketa politik jika pemimpin itu enggan memohon maaf secara terbuka kepada penganut Kristian di negara ini.
Masiung meluahkan rasa kesal terhadap tindakan individu berkenaan, sambil menegaskan bahawa seseorang yang bergelar pemimpin sepatutnya mengetahui batas sensitiviti agama dan implikasi perundangan.
“Kita menghormati Umno kerana parti nasional itu adalah rakan dalam pembentukan kerajaan Sabah, tetapi perbuatan Noorazli mempersendakan paderi dan biarawati Katolik berunsur lucah dianggap satu penghinaan kepada penganut agama Kristian keseluruhannya.
“Saya berasa kesal kerana Noorazli sengaja merujuk Mazmur ayat 129 dalam Kitab Suci Katolik sebagai bahan jenaka, sedangkan kandungan itu tidak tepat mengikut pengamal kitab Injil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ucapan sensitif Noorazli dalam perhimpunan parti nasional itu telah menimbulkan kemarahan umat Katolik dan agama Kristian di negara ini.
Mengulas lanjut, Masiung menggesa polis mengambil tindakan terhadap Ketua Umno Sepang itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Akta 574, kerana mempersendakan sensitiviti agama lain jika beliau enggan memohon maaf.
Menurutnya, umat Kristian, Islam serta penganut agama lain di Sabah sudah sekian lama hidup dalam satu kekeluargaan dengan semangat hormat-menghormati sesama sendiri.
Masiung berkata, semangat toleransi itu tidak mengizinkan mana-mana ahli politik mencemarkan keharmonian dalam kebebasan beragama di wilayah Sabah.
ADUN Kuamut itu mengingatkan bahawa tindakan Ketua Umno Sepang berkenaan seolah-olah merendahkan maruah golongan paderi dan penganut Kristian.
Masiung bertegas supaya Noorazli segera tampil memohon maaf secara terbuka tanpa syarat, sebelum tercetus sebarang ketegangan yang boleh menggugat keharmonian kaum.
Sejak kelmarin, pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Ketua Umno Sepang itu memohon maaf secara terbuka kepada umat Katolik dan Kristian di negara ini.






























