GEORGE TOWN (Bernama): Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang dirangka Kementerian Digital, dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ini atau selewat-lewatnya suku pertama tahun depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata draf RUU itu telah disiapkan selepas Kementerian Digital mengadakan bengkel dan sesi libat urus, bagi mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan dan kini dalam proses untuk diangkat kepada Kabinet.
“Rang undang-undang itu telah kita siapkan, kita telah pun adakan bengkel dan sebagainya, mendapat pendapat daripada semua yang terlibat dan kita dalam proses sekarang angkat kertas itu ke Kabinet.
“So, harap-harap dalam suku ini ataupun kalau tidak, dalam suku pertama tahun depan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya kepada pemberita merasmikan Scars of War – An International Photography and Art Exhibition di Galeri Seni Lin Xiang Xiong, di sini hari ini.
Pameran selama dua bulan bermula hari ini, merupakan satu inisiatif budaya antarabangsa yang menghimpunkan dokumentasi kemanusiaan dan seni kontemporari, untuk meneroka kesan berterusan konflik bersenjata terhadap manusia dan ia memaparkan 38 foto dokumentari oleh Alison Locke, Cory Wright, Giovanni Diffidenti dan Werner Anderson, bersama dengan 4 karya seni asli oleh Prof Lin Xiang Xiong.
Sebelum ini Kementerian Digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), memulakan sesi libat urus sepanjang Julai lepas, bagi memperincikan cadangan RUU Tadbir Urus AI dan langkah itu, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan serta meningkatkan kefahaman mengenai kerangka tadbir urus, yang akan menjadi asas kepada cadangan RUU berkenaan.
Gobind berkata tadbir urus AI, tidak hanya tertumpu kepada penggubalan undang-undang, sebaliknya melibatkan tiga aspek utama iaitu piawaian, peraturan dan undang-undang dengan aspek yang boleh ditangani menerusi piawaian sedang dilaksanakan melalui penubuhan MY-AI Standards, di bawah Kementerian Digital yang ditubuhkan bulan lepas dan kini bekerjasama dengan pejabat SIRIM Berhad.
Beliau berkata terdapat perkara berkaitan AI yang memerlukan kawal selia tetapi tidak semestinya memerlukan penggubalan undang-undang, justeru ia boleh ditangani melalui peraturan yang boleh dilaksanakan dengan lebih pantas.
“Untuk beberapa perkara ini, kita lihat kepada pertamanya piawaian, kemudian kita lihat pada peraturan dan seterusnya kepada undang-undang, keupayaan untuk menggubal peraturan juga penting memandangkan perkembangan teknologi AI berlaku dengan pantas dan isu baharu boleh timbul pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada pembentukan struktur dan agensi yang akan bertanggungjawab melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang berkenaan selepas ia diluluskan.
Beliau berkata penubuhan AI Malaysia, merupakan sebahagian daripada usaha menyediakan struktur tersebut, bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku pelanggaran.
“Apabila kita menguatkuasakan undang-undang, kita kena pastikan bahawa ada pihak-pihak yang dapat pastikan bahawa undang-undang itu dipatuhi dan sekiranya tidak dipatuhi undang-undang itu, maka tindakan diambil dan sebagainya.
“Usaha menyediakan struktur penguatkuasaan itu kini sedang digerakkan serentak dengan proses membawa draf RUU ke Kabinet, pendekatan bersepadu berkenaan penting bagi memastikan mekanisme tadbir urus dan penguatkuasaan tersedia apabila RUU tersebut diluluskan,” katanya. — BERNAMA
































