Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian lebih serius terhadap keperluan perkhidmatan kesihatan di Bingkor, termasuk mempertimbangkan penempatan doktor pakar secara berkala di Klinik Bingkor.
Pengerusinya, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, kedudukan Bingkor yang hanya kira-kira 11 kilometer dari Pekan Keningau tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kawasan berkenaan menerima kemudahan kesihatan yang lebih baik dan bersesuaian dengan perkembangan penduduk.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mengenai usaha KKM memperluaskan penempatan pakar perubatan ke beberapa hospital di Sabah bagi menangani kekurangan tenaga pakar, selain memperkukuhkan sistem penggiliran kepakaran ke kawasan luar bandar.
“Buat masa ini Klinik Bingkor mempunyai empat orang doktor, namun kapasiti tenaga perubatan perlu sentiasa dinilai berdasarkan jumlah penduduk, jumlah pesakit dan beban perkhidmatan yang diterima setiap hari.
“Sudah tiba masanya kita melihat bukan sahaja bilangan doktor, tetapi juga akses kepada kepakaran perubatan di Bingkor,” katanya dalam satu kenyataan.
Yazid berkata, PKMB tidak bermaksud semua doktor pakar perlu ditempatkan secara tetap di Klinik Bingkor, sebaliknya sistem penggiliran atau lawatan doktor pakar secara berkala boleh dilaksanakan sebagai langkah awal.
Katanya, antara kepakaran yang boleh dipertimbangkan termasuk perubatan dalaman, pediatrik serta obstetrik dan ginekologi (O&G), selain bidang lain berdasarkan keperluan sebenar pesakit dan penilaian KKM.
“Langkah ini akan memberikan keselesaan besar kepada penduduk Bingkor kerana mereka tidak perlu terlalu kerap berulang-alik ke kemudahan kesihatan di Keningau untuk mendapatkan pemeriksaan atau konsultasi kepakaran tertentu.Pada masa sama, ia juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan di Keningau,” katanya.
Beliau berkata, perancangan kemudahan kesihatan perlu dibuat berdasarkan keperluan masa kini dan unjuran pertumbuhan penduduk pada masa akan datang, bukannya hanya berdasarkan keadaan semasa.
“Kita jangan tunggu sehingga keperluan menjadi kritikal barulah tindakan diambil. Lebih baik kita merancang lebih awal supaya kemudahan kesihatan sentiasa seiring dengan perkembangan masyarakat,” katanya.
Yazid turut berharap Kerajaan Negeri dapat bersama-sama membawa perkara itu kepada perhatian KKM, selain menyatakan PKMB bersedia menjadi suara masyarakat bagi memastikan rakyat Bingkor mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, dekat dan selesa.
“Ini merupakan soal kebajikan rakyat dan keperluan asas masyarakat. Kesihatan tidak boleh ditangguhkan. Justeru, kita berharap KKM dapat melihat perkara ini secara positif dan mempertimbangkan penambahan tenaga perubatan serta perkhidmatan kepakaran di Bingkor secara berperingkat,” katanya.
































