TELUPID (Bernama): Empat individu maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kampung Gambaron di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan dari arah bertentangan itu pada 7.28 pagi.
“Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi sejauh 93 kilometer namun berdepan cabaran kerana tiada liputan telefon dan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di kawasan itu.
“Empat mangsa dalam kereta itu berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata PGO JBPM Sabah dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan identiti kesemua mangsa maut termasuk jantina belum dikenal pasti dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
PGO JBPM Sabah memberitahu pemandu lori terlibat hanya cedera ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut.
Telupid terletak di pedalaman Sabah iaitu sejauh 232 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan bandar terdekat ialah Sandakan sekitar 130 kilometer.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beluran Supt Hasan Majid berkata mangsa yang maut ialah pemandu kereta seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun manakala tiga lagi penumpang ialah warga asing.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi di Kilometer 7 Jalan Telupid-Beluran itu, kereta jenis Proton Saga dinaiki mangsa dari arah Beluran menuju ke pekan Telupid disyaki hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh.
“Kereta tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dalam perjalanan dari Kampung Gambaron menuju ke tempat kerjanya di Gerak Maju Realty.
“Rempuhan itu menyebabkan pemandu lori itu cedera pada kaki dan tangan, manakala empat individu dalam kereta tersepit pada bahagian tempat duduk hadapan serta belakang dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian serta rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Alpius @ Nickee Yakim di talian 019-8707626 atau hadir ke balai polis berhampiran. — BERNAMA
































