Rina (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah jemputan.
TAWAU: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi menjayakan program sukarelawan belia dalam perkhidmatan kebajikan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelaksanaan 266 program sukarelawan dan enam program latihan seluruh Malaysia.
“Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan di peringkat kebangsaan bagi menjayakan program ini yang secara keseluruhannya melibatkan 266 program dan enam program latihan bagi seluruh Malaysia.
“Program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni merupakan Program Kesukarelawan hasil kerjasama strategik jabatan kebajikan masyarakat (JKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memfokuskan kepada penglibatan belia dalam perkhidmatan kebajikan.
“Pelaksanaan program sihat warga emas di peringkat daerah Tawau pada hari ini, Jabatan Kebajikan Am Perkhidmatan Sabah (JPKAS) telah menerima agihan peruntukan yang mencukupi bagi menampung program ini sehingga ke majlis penutupan di Tawau pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Program RHYTHM-Ritma Kehidupan Harmoni, Sukarelawan Belia Dalam Perkhidmatan Kebajikan di Dewan Dato Abdullah Jaapar, Kastam Cawangan Tawau, pada Selasa.
Dalam pada itu, Rina menjelaskan kerajaan sentiasa menyokong dalam usaha memperkasa warga emas menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.
“Kerajaan melalui portfolio perkhidmatan kebajikan akan sentiasa menyokong usaha-usaha memperkasa warga emas dan institusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) agar golongan ini terus menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan bermaruah.
“Bagi program di Tawau pada hari ini, kita menyasarkan penyertaan 100 orang warga emas sebagai penerima manfaat dan disokong oleh 30 orang sukarelawan belia,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, pelbagai program dilaksanakan dalam menyantuni golongan warga emas antaranya senamrobik, ceramah sokongan psikologi kepada penjaga warga emas, ceramah rakan digital warga emas , ceramah pertolongan cemas serta pertandingan karaoke warga emas.
































