(Kanan ke kiri): Rosmawati, Mohd. Razali, Zainuddin, Julita, Hajiji, Juliah, Rina, Siti Yuslaini dan Haslina memberikan isyarat bagus semasa program.
KOTA KINABALU: Pemerkasaan wanita di Sabah tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi hak, perlindungan, kepimpinan dan kesejahteraan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kemajuan wanita Sabah dapat dilihat apabila 42.22 peratus wanita kini berada dalam kedudukan pembuat keputusan, khususnya dalam jawatan teknikal dan profesional.
“Angka ini menunjukkan wanita bukan lagi sekadar penerima manfaat, tetapi semakin memainkan peranan dalam membuat keputusan dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Namun, pemerkasaan wanita tidak berhenti di situ. Kita juga perlu memastikan mereka mengetahui hak, mendapat perlindungan dan mempunyai akses kepada sokongan apabila berdepan cabaran,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Turut hadir Isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag; Pembantu Menteri Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Rina Jainal; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab; Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Zainuddin Aman dan isteri, Datin Siti Yuslaini Mohd. Samsuri; Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, Haslina Ismail.
Julita berkata, Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) telah mengendalikan 889 kes bagi tempoh 2018 hingga Julai 2026, manakala 1,237 klien mendapatkan perkhidmatan melibatkan 1,625 kes.
“Bagi saya, wanita yang diperkasa ialah wanita yang tahu haknya, yakin dengan kemampuan dirinya dan tahu bahawa mereka tidak perlu menghadapi sesuatu masalah seorang diri,” katanya.
Julita berkata, pembangunan kepimpinan wanita turut diperkukuh melalui Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN), yang telah melibatkan 1,215 peserta dalam tiga kohort dengan 379 peserta berjaya ditauliahkan.
Pada masa sama, katanya, JHEWA terus memperluas peluang kemahiran dan keusahawanan, yang telah memberi manfaat kepada 6,952 wanita di seluruh Sabah sepanjang 2022 hingga 2026.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh itu turut diterapkan melalui Sabah Gender Focal Point (SGFP), dengan hampir 50 ejen perubahan bertauliah dibangunkan sehingga Kohort 3 bagi memastikan perspektif gender diambil kira dalam perancangan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Kesemua usaha ini saling berkait. Apabila kita membuka peluang ekonomi, memperkukuh kepimpinan, meningkatkan kesedaran tentang hak dan menyediakan perlindungan, kita sedang membina wanita yang lebih yakin, berdaya tahan dan mampu menentukan masa depan mereka,” katanya.
Julita berkata, usaha pemerkasaan wanita memerlukan kerjasama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti bagi memastikan tiada wanita yang tercicir.
“Pemerkasaan wanita bukan hanya tentang apa yang kita berikan kepada mereka, tetapi tentang ruang yang kita bina supaya mereka boleh berdiri dengan kekuatan sendiri,” katanya.






























