Masidi diberi penerangan mengenai konsep dan operasi perniagaan berkenaan.
RANAU: Ranau kini semakin berkembang sebagai daerah yang mempunyai potensi besar dalam sektor perniagaan, sekali gus mencerminkan kemajuan ekonomi dan pembangunan yang semakin rancak, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, keyakinan pengusaha tempatan dan luar daerah memilih Ranau sebagai lokasi perniagaan membuktikan daerah tersebut semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam kalangan pelabur dan usahawan.
“Pemilihan daerah ini sebagai lokasi perniagaan membuktikan Ranau mempunyai ekonomi yang kukuh, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong,” katanya ketika merasmikan pembukaan Kopi Saigon x Nasi Kak Wok Jee Harris di Pekan Ranau, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pengusaha perlu memastikan mutu produk serta perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, aspek perkhidmatan perlu diberikan keutamaan kerana layanan baik kepada pelanggan merupakan faktor penting dalam memastikan perniagaan terus mendapat kepercayaan pengguna.
Menurutnya, selain perkhidmatan, penyediaan makanan yang memenuhi standard ditetapkan juga penting bagi memberikan pengalaman serta nilai yang sewajarnya kepada pelanggan.
Beliau turut berharap kehadiran pelbagai perniagaan berjenama di daerah berkenaan dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berinovasi, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang perniagaan di daerah lain di Sabah.
“Oleh yang demikian, pertambahan aktiviti komersial di Ranau bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.






























