Hajiji melakukan gimik perasmian Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan kemudahan dan fasiliti kesihatan di Sabah sentiasa dipertingkatkan agar rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat, selamat, berkualiti dan saksama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sektor kesihatan yang cemerlang memerlukan penambahbaikan berterusan demi kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam menghadapi cabaran geografi, taburan penduduk, serta tahap aksesibiliti perkhidmatan di Sabah.
“Cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan saksama,” katanya ketika berucap merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Sabah turut berhasrat untuk melihat lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar dibangunkan, termasuk penambahan bilangan doktor pakar, supaya rakyat di negeri ini dapat menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dan berkesan.
Katanya, dalam usaha itu, Sabah telah mengorak langkah apabila kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan IJN Sdn Bhd dimeterai pada April lalu bagi pembinaan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu, yang diharapkan dapat merealisasikan akses perkhidmatan jantung yang lebih baik di negeri ini.
Sementara itu, Hajiji berkata, penganjuran Kembara TOBaTS membuktikan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama kerajaan negeri dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman produk kesihatan serta ubat-ubatan tidak sah.
Beliau juga mengingatkan bahawa kewujudan platform digital dan media sosial menyebabkan produk kosmetik, suplemen, dan ubat-ubatan tidak berdaftar semakin mudah dipasarkan terus kepada pengguna, di samping membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk membuat pelbagai dakwaan perubatan yang mengelirukan atau tidak berasas.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat tidak boleh dan tidak akan sesekali dikompromi. Penggunaan ubat tidak sah boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kerana produk sedemikian tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan, malah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati, dan membawa maut,” tegasnya.
Hajiji turut menegaskan bahawa penguatkuasaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya benteng pertahanan paling ampuh ialah masyarakat yang berpengetahuan, berwaspada, dan mampu membuat keputusan yang tepat.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah supaya mengamalkan budaya semak melalui aplikasi MyUbat yang disediakan oleh KKM sebelum membeli sesuatu ubat, selain memastikan ubat yang dibeli berdaftar dengan KKM serta berunding dengan ahli farmasi atau doktor sebelum mencuba sebarang produk kesihatan baharu.
“Saya berharap program Kembara TOBaTS menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya baharu, iaitu budaya celik ubat serta budaya menolak sebarang bentuk penipuan dan penyalahgunaan berkaitan ubat,” katanya.
Hajiji juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dan memperkukuh sinergi dengan KKM serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus diperkasa secara mampan dan menyeluruh.
Beliau berkata, kerjasama padu antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi Kerajaan Negeri adalah penting bagi memastikan mesej Kempen TOBaTS dapat disampaikan secara meluas hingga ke peringkat akar umbi di seluruh negeri.
Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata, sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan boleh memudaratkan, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa di peringkat negeri akan mengambil langkah-langkah proaktif yang sewajarnya.






























