Azalina dan Armizan.
PUTRAJAYA: Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] mula berkuat kuasa pada 28 Ogos lalu, menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
Dalam kenyataan bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan Akta 877 merupakan hasil kerjasama antara kedua-dua kementerian.
Menurut mereka, pelaksanaan akta berkenaan selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa.
Akta 877 berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).
Bagaimanapun, model berkenaan disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
Mereka berkata, penguatkuasaan Akta 877 akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, selain memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan.
“Akta ini juga akan meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.
“Selain itu, ia membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan,” kata mereka.
Mereka berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
































