KOTA KINABALU: Lima stesen pengawasan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, bacaan IPU tertinggi direkodkan di Stesen Kota Kinabalu iaitu 177, diikuti Kimanis (166), Keningau (165), Politeknik (159) dan Tawau (153).
“Lima stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 177 untuk Stesen Kota Kinabalu, 159 untuk Stesen Politeknik, 166 untuk Stesen Kimanis, 165 untuk Stesen Keningau dan 153 untuk Stesen Tawau.
“Bagaimanapun, Stesen Sandakan masih mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 93,” katanya dalam kenyataan media mengenai status kualiti udara dan jerebu di Sabah, hari ini.
Nor Rashidah berkata, kualiti udara di negeri ini terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
“Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai telah dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka oleh pegawai JAS pada 1 September, tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
“Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 31 Ogos 2026 melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, tiada sebarang titik panas (hotspot) dikesan di Sabah.
“Laporan yang sama menunjukkan sebanyak 253 titik panas dikesan di Kalimantan dan 63 di Sumatera bagi cerapan 31 Ogos 2026,” katanya.
Nor Rashidah berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 menunjukkan tahap Tidak Sihat, manakala bacaan 201 hingga 400 adalah Sangat Tidak Sihat dan 401 hingga 500 dikategorikan sebagai Sangat Bahaya.
“Apabila IPU mencecah bacaan 200, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JAS sentiasa bersiap siaga untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering.
“JAS turut memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa. Pada 1 September 2026, rondaan harian telah dilaksanakan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau dengan memberikan tumpuan kepada kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara sedia ada,” katanya.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 492 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan.
Nor Rashidah turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk bacaan IPU terkini setiap jam melalui laman sesawang JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS atau memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di Play Store.
“Orang ramai juga dinasihatkan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia di www.moh.gov.my bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.
“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Nor Rashidah turut meminta kerjasama orang ramai untuk memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
































