MELAKA: Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi kebebasan serta ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Menurut Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
“Maka pada hari ini saya dah umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.
Anwar berkata, walaupun pindaan terhadap AUKU telah dilaksanakan sebelum ini bagi membolehkan mahasiswa bergiat aktif, ruang kebebasan berkenaan perlu diperkukuh sepenuhnya selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU merupakan antara reformasi pendidikan yang akan diteruskan Kerajaan selepas kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi negara semakin terjamin di bawah pentadbirannya.
Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan mahasiswa mempunyai ruang lebih luas untuk menyuarakan pandangan, bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan serta mengambil bahagian dalam proses demokrasi tanpa kekangan yang tidak lagi bersesuaian dengan keperluan semasa.
































