KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal yang melibatkan dua murid sekolah rendah di daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan polis dibuat oleh bapa kepada kedua-dua mangsa pada 7 Julai lalu selepas mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai melibatkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh seorang murid lelaki yang juga merupakan rakan sekelasnya.
“Pada keesokan harinya, adik kepada mangsa yang bersekolah di sekolah yang sama pula didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama.
“Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala mangsa lelaki berada dalam keadaan trauma dan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Syed Lot berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan selain melakukan gangguan fizikal di dalam kelas.
Katanya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.
“Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek, merakam percakapan mangsa, saksi-saksi, guru serta pihak pentadbiran sekolah.
“Pemeriksaan perubatan ke atas mangsa juga sedang dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.
































