KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik penambahbaikan mekanisme Program BUDI Diesel yang membolehkan kelayakan subsidi dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat atau pengguna sebenar kenderaan, sekali gus memastikan bantuan kerajaan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, langkah yang diumumkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan di bawah pimpinan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mendengar pandangan rakyat serta menambah baik pelaksanaan dasar subsidi mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, mekanisme baharu itu lebih praktikal, mesra pengguna dan selari dengan realiti kehidupan rakyat, khususnya bagi keluarga yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama ahli keluarga lain untuk tujuan pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan urusan harian.
“Penambahbaikan ini bukan sahaja memudahkan proses permohonan, malah memastikan subsidi diesel disalurkan kepada pengguna sebenar tanpa menafikan hak penerima yang layak.
“Ia merupakan pendekatan yang lebih adil, bersasar dan berkesan dalam memastikan manfaat subsidi sampai kepada kumpulan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, inisiatif berkenaan dijangka memberi kelegaan kepada ramai pengguna, terutama golongan B40 dan M40 yang masih berdepan peningkatan kos sara hidup serta tekanan perbelanjaan harian.
Menurut beliau, pengurangan beban kos bahan api akan membantu rakyat mengurus kewangan isi rumah dengan lebih baik, selain menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi dan pekerjaan yang bergantung kepada penggunaan kenderaan.
Sehubungan itu, YPNM Sabah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kesediaannya memperhalusi dasar subsidi berdasarkan maklum balas rakyat serta mengamalkan pendekatan libat urus yang berterusan.
“YPNM Sabah berharap kerajaan akan terus memperkukuh dasar yang berpaksikan kepentingan pengguna serta memastikan setiap bentuk bantuan disampaikan secara cekap, telus dan tepat kepada kumpulan sasar.
“Dasar yang memahami keperluan rakyat akan sentiasa membawa manfaat dan kelegaan kepada masyarakat,” katanya.


































