Nur Idayu Bujang menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang diberikan.
KOTA KINABALU: Kesedaran bahawa setiap titisan darah mampu menyelamatkan nyawa terus diperkasakan apabila Horizon Hotel menganjurkan Kempen Derma Darah Tahunan 2026 dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital, Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Wilayah Sabah.
Program yang berlangsung di Horizon Hotel di sini kelmarin menjadi platform menghimpunkan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang ke arah memastikan bekalan darah di hospital-hospital sekitar Sabah sentiasa berada pada tahap mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit, khususnya mereka yang menjalani rawatan kecemasan, pembedahan serta rawatan penyakit kronik.
Selain aktiviti derma darah, pengunjung turut didedahkan dengan ilmu bantuan kecemasan menerusi sesi CPR asas yang dikendalikan oleh SJAM Wilayah Sabah.
Turut menjayakan program ialah wakil KPJ Sabah Specialist Hospital, Eksekutif Pemasarannya, Wan Nabilah Wan Mazlan, serta Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Horizon Hotel, Nur Idayu Bujang berkata kempen berkenaan bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat, sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk menyemai budaya prihatin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, kempen kali ini berjaya mengumpulkan 63 beg darah, manakala 18 individu yang hadir tidak layak menderma selepas menjalani saringan kesihatan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan penderma dan penerima darah.
“Kempen ini turut mencatat satu lagi detik istimewa apabila Muammar Shauqi Marzuky, 18, tampil sebagai penderma darah pertama kali termuda.
“Penyertaan beliau menjadi simbol kesedaran dan keprihatinan golongan belia terhadap kepentingan menderma darah sebagai satu amalan yang mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Nur Idayu berkata, bekalan darah yang stabil amat penting bagi memastikan setiap pesakit yang memerlukan dapat menerima rawatan tanpa sebarang kelewatan.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi manfaat kepada beberapa pesakit dan berpotensi menyelamatkan nyawa. Kami berharap lebih ramai masyarakat tampil sebagai penderma darah kerana sumbangan yang kecil ini membawa impak yang sangat besar kepada mereka yang sedang berjuang mendapatkan rawatan,” katanya.
Sebagai penghargaan kepada para penderma, pelbagai hadiah menarik disediakan selagi stok masih ada, selain kemudahan parkir percuma sepanjang program berlangsung.
Horizon Hotel berharap penganjuran kempen tahunan ini akan terus mendapat sokongan masyarakat dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesedaran bahawa derma darah bukan sahaja satu amalan mulia, malah merupakan tanggungjawab sosial yang mampu memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan.






























