PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan penyaluran subsidi diesel kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan persendirian perniagaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan antara penambahbaikan yang dipersetujui Jemaah Menteri bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api mengambil kira maklum balas rakyat, faktor kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan fiskal negara.
“Peluasan ini membolehkan lebih ramai peniaga kecil menikmati manfaat subsidi diesel. Sebelum ini, syarat kelayakan subsidi diesel terhad kepada kenderaan yang didaftarkan atas nama individu bagi BUDI Diesel dan kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas atau kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata, selain peluasan kelayakan subsidi, kerajaan turut bersetuju membuat semakan pelarasan kadar kuota tetap bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah SKDS.
Menurutnya, pelarasan kuota tetap itu bukan sahaja berdasarkan purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, malah akan mengambil kira faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi kenderaan.
“Melalui SKDS, kadar penggunaan dan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan bagi setiap kenderaan dan syarikat yang berdaftar akan direkodkan,” katanya.
Terdahulu, Armizan meninjau tahap kesiapsiagaan pelaksanaan bantuan subsidi bahan api rakyat melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Stesen Shell Presint 18 di sini, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya di seluruh negara bermula 1 Julai ini.
Tinjauan itu merupakan susulan kepada pemeriksaan yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap persiapan di pihak PETRONAS pada 15 Jun lalu.
Beliau berkata, sebagaimana diumumkan Kementerian Kewangan semalam, pelaksanaan secara rintis bermula hari ini bagi menguji kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada penerima yang layak di stesen minyak di Semenanjung Malaysia pada harga runcit RM2.15 seliter.
“Harga subsidi BUDI Diesel pada kadar RM2.10 seliter akan bermula pada 1 Julai 2026,” katanya.
Menurut beliau, tinjauan tersebut meliputi tahap persiapan di peringkat runcit stesen minyak termasuk kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan mesra pelanggan.
Katanya, melalui BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di stesen minyak sama ada melalui pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat minyak.
“Sebagai kementerian yang mengawal selia perkhidmatan runcit bahan api, KPDN komited memastikan pelaksanaan mekanisme ini membolehkan rakyat mendapat akses untuk memanfaatkan bantuan subsidi bahan api dengan lancar, selamat dan mesra pengguna,” katanya.
Armizan berkata, hasil kerjasama erat antara kerajaan dan industri, 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB telah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan BUDI Diesel.
Beliau berkata, sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara kini bersedia untuk pelaksanaan penuh BUDI Diesel sebagai salah satu mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
Sementara itu, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu turut membincangkan status kemajuan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api menerusi BUDI Diesel, BUDI95, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Katanya, Perdana Menteri mengarahkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan dengan segera bagi memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan susulan segera untuk melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri termasuk mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian serta keperluan pengubahsuaian dan pengintegrasian kepada sistem pelaksanaan sedia ada.






























