SOOK: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menyeru umat Islam agar terus menghayati semangat Hijrah Rasulullah SAW dengan menterjemahkan nilai pengorbanan, integriti, perpaduan dan keilmuan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, penghayatan Hijrah bukan sekadar memperingati sejarah, sebaliknya perlu dizahirkan melalui perubahan sikap, peningkatan disiplin diri serta kesungguhan dalam memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik.
Menurutnya, tema Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M tahun ini, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, mengajak masyarakat menghayati nilai-nilai Islam yang menjadi asas kepada pembentukan ummah yang berakhlak, bersatu dan bertanggungjawab.
“Tema sambutan perlu difahami secara mendalam dan diamalkan secara konsisten agar dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani, intelektual dan sosial,” katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Sook di Dewan Terbuka Kampung Binuwou, di sini, kelmarin.
Masidi berkata, masyarakat juga perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan sosial serta ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, dalam berdepan perubahan pesat itu, penghayatan nilai Islam perlu dijadikan benteng utama bagi memastikan kemajuan yang dicapai tidak mengabaikan prinsip moral dan etika.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengorbanan yang ditunjukkan melalui peristiwa Hijrah Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan dalam melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan.
Menurutnya, setiap individu harus menjadikan pekerjaan sebagai ibadah serta menjauhi segala bentuk penyelewengan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Setiap individu mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang lebih baik melalui tindakan yang berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya.
Masidi berkata, kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan ilmu, kemuliaan adab, keutuhan nilai masyarakat dan perpaduan yang kukuh.
“Oleh yang demikian, kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, malah turut bergantung kepada kekuatan ilmu, kemuliaan adab, keutuhan nilai masyarakat dan perpaduan yang kukuh.
“Justeru, marilah kita terus memperkukuh penghayatan agama dalam kehidupan seharian demi mencapai kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata, nilai-nilai yang terkandung dalam semangat Hijrah wajar dijadikan panduan dalam usaha membentuk masyarakat yang progresif tanpa mengabaikan asas agama dan budaya.
Menurutnya, keseimbangan antara pembangunan material dan pembinaan sahsiah merupakan kunci kepada kemajuan yang mampan.
Pada majlis sama, Masidi turut merasmikan ruang solat muslimat Masjid As-Saadah di Kampung Binuwou.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan ibadah serta meningkatkan keselesaan jemaah, khususnya golongan wanita di kawasan berkenaan.






























