Donald Peter Mojuntin
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menyifatkan Tragedi Double Six sebagai peristiwa bersejarah yang bukan sahaja perlu dikenang, tetapi menjadi peringatan penting bahawa masa depan Sabah mesti terus dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen mempertahankan hak serta kepentingan negeri.
Sempena memperingati ulang tahun ke-50 tragedi itu hari ini, beliau berkata, peristiwa yang berlaku pada 6 Jun 1976 telah meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah Sabah dan rakyatnya.
Menurutnya, tragedi berkenaan meragut pemimpin-pemimpin yang telah mengabdikan hidup mereka untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat Sabah.
“Walaupun lima dekad telah berlalu, jasa, pengorbanan dan semangat perjuangan mereka tetap hidup dalam ingatan kita.
“Bagi saya, Tragedi Double Six bukan sekadar peristiwa yang perlu dikenang. Ia adalah peringatan bahawa masa depan Sabah mesti sentiasa dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Donald berkata, semangat itu juga menjadi asas kepada perjuangan Sabah First yang dibawa ketika ini.
“Bukan untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia, tetapi untuk memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dihormati, dilaksanakan dan dipertahankan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan menuntut hak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Persekutuan daripada Sabah, kuasa-kuasa yang dijamin kepada negeri itu, pembangunan yang adil serta penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia merupakan tanggungjawab generasi masa kini.
Menurutnya, usaha itu penting bagi meneruskan legasi perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah banyak berjasa kepada negeri.
Dalam menghadapi cabaran semasa katanya, rakyat Sabah tidak boleh berpecah sebaliknya perlu berdiri bersama sebagai satu keluarga besar tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“Hanya melalui perpaduan kita mampu memperkukuhkan suara Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan hak, maruah dan masa depan negeri sempena ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six.
“Sabah United, Sabah First. Lest We Forget,” katanya.
































