Dr. Rockey (tengah) menerima cenderahati daripada Pengerusi JKKK Kampung Narayat, Loudis Okom (kanan) sambil diperhatikan oldh Ketua Kampung, Joachim Saradon (kiri) pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Narayat 2026.
TAMBUNAN: Semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras kehidupan masyarakat luar bandar perlu terus dipelihara dan tidak seharusnya pudar sebaik sahaja perayaan Pesta Kaamatan berakhir.
Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Daerah Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar platform untuk bersukaria dengan paluan gong dan tarian Sumazau, sebaliknya merupakan simbol kesyukuran, kebangkitan semula serta penyatuan komuniti.
Beliau berkata, semangat ‘mitatabang’ atau gotong-royong yang diwarisi sejak turun-temurun perlu terus disemarakkan dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Semangat ‘Mitatabang’ harus sentiasa mekar di dalam komuniti kita, tanpa mengira apa pun acara, kerana selain Kaamatan, ini juga sudah menjadi tradisi nenek moyang kita,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Narayat 2026 yang berlangsung meriah di kampung itu, kelmarin.
Mengulas tema sambutan tahun ini iaitu “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, Rockey berkata proses menuai perpaduan adalah sama seperti mengusahakan sawah padi yang memerlukan usaha berterusan, titik peluh bersama dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.
“Perpaduan tidak datang bergolek. Ia perlu disemai dengan kasih sayang, dijaga dengan toleransi, dan hari ini, hasil daripada kebersamaan itu, kita mampu ‘menuai’ sebuah ikatan persaudaraan yang utuh dalam kalangan warga Kampung Narayat,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Tambunan terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kehijauan sawah padinya, nilai paling berharga yang menjadi benteng kekuatan daerah itu ialah keharmonian penduduknya.
Katanya, perbezaan latar belakang, usia dan fahaman tidak pernah menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
“Walau berbeza latar belakang, usia mahupun fahaman, hari ini kita dapat duduk sebaris, makan semeja dan tersenyum bersama. Inilah keharmonian sebenar,” katanya.
Rockey berharap semangat Kaamatan yang diraikan setiap tahun tidak terhenti setakat perayaan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan dalam kehidupan harian masyarakat.
“Saya berharap agar semangat Kaamatan ini tidak padam begitu sahaja.
“Bawalah ia ke dalam kehidupan seharian dan jadikanlah Kampung Narayat sebagai contoh sebuah kampung yang bersatu padu dan progresif, namun tetap teguh memegang akar budaya serta adat resam kerana kehilangan budaya dan tradisi adalah sama kehilangan erti kehidupan sebagai bangsa KDMR,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Penganjur, Loudis Okom, Ketua Kampung, Joachim Saradon, serta seluruh jawatankuasa penganjur dan warga Kampung Narayat yang telah menjayakan sambutan tersebut.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang sambutan termasuk pertandingan Sugandoi, Unduk Ngadau Kanak-Kanak, cabutan bertuah, penyediaan masakan tradisi, sukaneka dan pelbagai acara lain yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Sambutan itu bukan sahaja menjadi medan meraikan budaya dan tradisi masyarakat, malah mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
































