Masidi turut merakamkan gambar kenangan bersama para delegasi, peserta persidangan dan wakil syarikat yang mengambil bahagian dalam persidangan serta pameran OGSE Sabah 2026.
KOTA KINABALU: Sabah kini sedang melalui transformasi besar dalam sektor tenaga dengan mengambil peranan lebih aktif sebagai pemilik dan peneraju industri minyak dan gas, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurutnya, menerusi SMJ Energy, Sabah sedang mempercepatkan aktiviti huluan, mengkomersialkan penemuan sumber tenaga baharu serta memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang dijana daripada sumber negeri dapat dikekalkan untuk manfaat rakyat Sabah.
“Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan Oil & Gas Services and Equipment Conference and Exhibition (OGSE) Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam tadi.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur dan rakan strategik antarabangsa menerusi kerjasama yang tulen melibatkan perkongsian teknologi, kepakaran dan modal bagi memacu pertumbuhan industri tenaga Sabah.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian penting bagi memperkukuh pembangunan sektor minyak dan gas negeri serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menggesa syarikat-syarikat yang terlibat supaya memberi peluang kepada vendor tempatan, melabur dalam pembangunan bakat anak Sabah dan membina kerjasama jangka panjang bagi memastikan manfaat industri dapat dinikmati secara menyeluruh.
Menurutnya, penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar pameran peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kestabilan kewangan, meningkatkan kebebasan komersial serta mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kukuh di Sabah.
Sehubungan itu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong pertumbuhan sektor tenaga dan memastikan kejayaan yang dicapai dapat memberi manfaat berpanjangan kepada Sabah dan rakyatnya.
































