SANDAKAN: Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) di Dewan Masyarakat Sandakan di sini kelmarin.
Program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 900 peserta dari lima kawasan Parlimen iaitu Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.
Turut terlibat ialah peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Sugut, Telupid, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Sekong, Karamunting, Elopura, Tanjong Papat, Lamag dan Sukau.
Peserta terdiri daripada warga UPPM, Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kapitan, Ketua Anak Negeri (KAN) serta Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN).
Golongan terbabit memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Program berkenaan dihadiri Pegawai Tadbir UPPM Negeri Sabah, Datu Hadzizan Suli yang mewakili Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; serta Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarakat Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Aini Awang Muda.
Penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti, pencegahan rasuah serta pengukuhan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Selain memberi penekanan kepada aspek integriti, peserta turut diberikan penerangan mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Inisiatif itu menekankan agenda pembangunan mampan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Usaha memperkukuh kefahaman mengenai integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat disifatkan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara telus, amanah dan berkesan.
Program tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran mengenai tanggungjawab pemimpin masyarakat dalam memastikan tadbir urus yang baik di peringkat komuniti.
Pada masa sama, ia mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk terus memupuk budaya kerja berintegriti dalam kalangan pemimpin dan masyarakat.
Melalui pendekatan berterusan itu, lebih ramai individu di peringkat akar umbi dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Program tersebut turut menyokong usaha melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri yang lebih progresif selaras dengan aspirasi SMJ.
































