Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti bahawa pendekatan rundingan yang dipilih Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa hasil nyata kepada rakyat negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan bayaran interim itu diberikan sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, perkembangan tersebut membuktikan bahawa pendekatan yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan telah menghasilkan kemajuan yang ketara dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.
Katanya, pencapaian itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perjuangan hak Sabah bukan hanya diukur melalui laungan kuat di pentas politik atau kenyataan beremosi di media sosial, tetapi melalui hasil yang dapat dibawa pulang kepada negeri dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses menuntut dan memuktamadkan hak Sabah di bawah MA63, termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan, bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan pelbagai aspek undang-undang, fiskal, pentadbiran dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri.
Menurutnya, rundingan yang sedang berlangsung memerlukan kesabaran, ketelitian dan rasa hormat antara kedua-dua pihak bagi memastikan penyelesaian yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada Sabah.
“Kerajaan tidak boleh memilih jalan yang terlalu berkonfrontasi atau membakar sentimen rakyat, tetapi akhirnya gagal membawa sebarang hasil konkrit kepada negeri ini,” katanya.
Nizam berkata, GRS memilih pendekatan yang lebih matang dengan kekal tegas mempertahankan hak Sabah sambil memastikan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan terus dipelihara.
Beliau menjelaskan pendekatan itu membolehkan rundingan diteruskan, ruang penyelesaian diperluaskan dan hasil interim yang lebih besar diperoleh sementara formula muktamad berhubung tuntutan 40 peratus dimuktamadkan.
Katanya, walaupun bayaran interim RM1.5 bilion itu bukan penyelesaian akhir, ia merupakan perkembangan penting yang menunjukkan tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu perincian mekanisme dan kaedah pelaksanaannya.
“Ini merupakan perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63 dan menunjukkan bahawa tuntutan Sabah kini berada pada landasan yang lebih jelas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah menilai perkembangan tersebut secara adil kerana Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak negeri.
Menurutnya, rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa ke meja perbincangan dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat.
Nizam berkata, walaupun rakyat menginginkan penyelesaian segera, Kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa atau sekadar mengejar keuntungan politik jangka pendek.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan keputusan yang dibuat benar-benar kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus itu dengan segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.
Katanya, perjuangan hak Sabah perlu diteruskan dengan keberanian dan kebijaksanaan kerana ketegasan tanpa strategi tidak akan membawa hasil yang diharapkan.
“Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang, tetapi berkesan,” katanya.
































