Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyifatkan pengumuman kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai bukti jelas komitmen dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menangani tuntutan hak negeri itu.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman berkenaan yang dibuat ketika merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan KDCA di Penampang hari ini.
Mustapha berkata, langkah itu mencerminkan keberanian politik dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar dalam menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
“Pengumuman ini merupakan satu lagi bukti jelas komitmen, keberanian dan kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad walaupun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, di bawah pentadbiran Anwar, jumlah Pemberian Khas kepada Sabah menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
“Pada tahun 2022, Sabah menerima RM125.6 juta, diikuti RM300 juta pada 2023 dan 2024, manakala jumlah itu meningkat kepada RM600 juta pada 2025 dan 2026 sebelum diumumkan kenaikan pembayaran interim kepada RM1.5 bilion tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan secara konsisten itu membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari malah diberikan perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan.
Mustapha berkata, isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kuat serta hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mahukan pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh demi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan dan hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Mustapha berkata, beliau yakin di bawah kepimpinan Anwar dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau turut menghargai semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab.
“Insya-Allah, perjuangan ini akan terus kita jayakan bersama,” katanya.
































