Anwar (tiga dari kiri) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor (dua dari kiri) melakukan upacara simbolik menuai padi di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang, hari ini.
PENAMPANG: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pemuktamadan pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau mengumumkan ini ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan tidak akan melengah-lengahkan pelaksanaan tuntutan berkenaan dan komited untuk menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat Sabah.
“Untuk sekarang, untuk hari ini, interimnya dulu RM600 juta. Jadi, untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat RM1.5 bilion.
“Nak cari dana lagi ni. Dia juga akan mengundang beberapa pandangan. Saya tegaskan, ini interim. Mengapa interim? Kerana harus dimuktamadkan,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan mengenai formula pelaksanaan pembayaran 40 peratus hasil Sabah masih diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Kewangan serta Jemaah Menteri.
Katanya, Kerajaan tidak mahu menunggu sehingga semua rundingan dimuktamadkan sebelum menyalurkan bantuan tambahan kepada Sabah.
“Saya tidak fikir Saudara Hajiji (Ketua Menteri) atau rakan-rakan di Sabah akan sabar. Berapa lama perbincangan diteruskan? Saya fikir tidak mungkin lama. Mesti selesai dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa buat pertama kali, kerajaan pimpinan beliau menetapkan pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai dasar rasmi kerajaan.
“Dasar kali pertama hanya Kerajaan MADANI pimpinan saya yang menetapkan no argument, it is a policy that must be implemented. Period.
“Sekarang cabarannya bagaimana kaedah pelaksanaannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan tidak pernah berniat menafikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus untuk negeri Sabah.
“Jangan ungkit pemerintahan yang lalu dan serang saya akibat masalah-masalah kecuaian yang lama kerana kita mula sekarang,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menolak dakwaan bahawa Sabah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan, sambil menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan dan perbelanjaan yang disalurkan ke negeri itu melebihi hasil yang dikutip.
Beliau berkata, hasil yang dikumpulkan daripada Sabah sebelum ini dianggarkan sekitar RM10 bilion, namun peruntukan pembangunan dan perbelanjaan Persekutuan untuk negeri itu mencecah RM17 bilion.
“Ini tidak bermakna saya nak nafikan hak 40 peratus itu.
“Tapi jangan nafikan seolah-olah kita dianayai, dianak tirikan, disengsarakan. Ini politik picisan yang tidak akan membawa semangat perpaduan,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan juga terus menanggung subsidi bahan api yang besar untuk rakyat Sabah.
Katanya, subsidi petrol, diesel dan LPG bagi Sabah dianggarkan mencecah RM3 bilion pada tahun ini berbanding RM1 bilion pada 2025 susulan ketidaktentuan geopolitik global dan kenaikan kos tenaga.
Anwar berkata, walaupun Kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan termasuk pemotongan perbelanjaan tertentu di kementerian, sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas termasuk di Sabah tidak akan terjejas.
Beliau menegaskan segala penjimatan yang dilakukan Kerajaan akan disalurkan semula kepada program kebajikan rakyat, pembangunan pendidikan serta projek-projek yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Bila saya bicara soal kemiskinan dan pembangunan, saya tidak mewakili kepentingan daerah atau negeri atau suku kaum.
“Saya mahu menjadi seorang pimpinan yang dikenali sebagai Anwar yang adil kepada semua dan menjaga kepentingan semua rakyat,” katanya.
































