KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan rapi sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2026 yang berkuat kuasa mulai 27 Mei hingga 4 Jun ini.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pelaksanaan walkabout peringkat negeri diadakan di Pasaraya Servay Hypermarket Jalan Penampang, Pekan Koidupan di sini, hari ini.
Katanya, pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai KPDN Sabah yang diketuai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Fredeck Kantod bagi memastikan pematuhan skim di peringkat peruncit dan pemborong.
“Tempoh pelaksanaan skim adalah selama sembilan hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan lima hari selepas perayaan.
“Sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan di bawah pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara barangan terbabit ialah kepak ayam, daging kerbau import dari India, cili kering keriting, bawang merah kecil India, bawang merah besar, bawang kuning besar dan bawang putih dari China.
Turut disenaraikan ialah halia tua import, ubi kentang dari China, babi hidup di peringkat ladang, daging babi bahagian perut serta daging dan lemak babi.
Shahril berkata, skim berkenaan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pemborong dan peruncit.
Katanya, pengguna boleh membuat semakan harga terkawal melalui laman sesawang rasmi KPDN.
“Skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Pesta Kaamatan selain memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
“Pelaksanaan skim ini juga adalah sebahagian daripada usaha prihatin kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya dapat menikmati sambutan perayaan dalam keadaan ceria dan harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Sabah menggerakkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri bagi memantau bekalan dan pematuhan harga.
Katanya, pemantauan melibatkan pasar awam, pasar tani serta pusat membeli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.
Menurut Shahril, sejak 1 Januari hingga 24 Mei lalu, KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan terhadap 3,620 premis di seluruh negeri.
“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 40 kes direkodkan dengan nilai kompaun keseluruhan RM4,900,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikompaun sehingga RM50,000.
Sementara itu, syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
































