Gambar sebelum (atas) dan selepas (bawah) letupan bom ikan di kawasan terjejas. – Foto ihsan Taman-Taman Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memandang serius insiden pengeboman ikan yang berlaku di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna, yang disifatkan sebagai satu ancaman besar terhadap usaha pemuliharaan marin di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap kejadian berkenaan yang bukan sahaja memusnahkan ekosistem marin, malah menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, maklumat awal mengenai kejadian itu diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei 2026 kira-kira jam 11.40 pagi, namun suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi.
“Hasil pemantauan awal oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) pada hari sama mendapati terdapat dua kawah yang dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pemantauan lanjut pada 25 Mei 2026 oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan berlakunya kemusnahan serius terhadap ekosistem marin di kawasan berkenaan.
“Penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 struktur ‘reef star’ telah terjejas melibatkan keluasan kerosakan sekitar 15 meter persegi, bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi.
“Kebanyakan spesies karang yang terkesan terdiri daripada Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang telah dipulihara secara berterusan sejak dua tahun lalu,” jelasnya.
Jafry berkata, daripada sudut kerugian, anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan terjejas mencecah sekitar RM96,000, selain kerosakan terhadap struktur reef star yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000.
Tambah beliau, penilaian perkhidmatan ekosistem turut menunjukkan kawasan tersebut mempunyai nilai manfaat ekologi dan sumber marin yang amat tinggi.
“Insiden ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan yang dibangunkan sejak sekian lama, malah mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin serta keselamatan pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot, serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan merupakan antara cabaran utama dalam memperkukuh keupayaan tindakan balas pantas di lapangan.
Sehubungan itu, beliau telah meminta pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk meneliti dan memperkukuhkan langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan.
“Ini termasuk aspek penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi seperti dron serta pengukuhan kehadiran fizikal pasukan penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Jafry turut menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri.
Beliau berkata, kerjasama dalam menyalurkan maklumat segera berkaitan aktiviti mencurigakan atau pencerobohan amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara untuk generasi masa hadapan,” tegasnya.




























