KOTA MARUDU: Perayaan Pesta Kaamatan kekal relevan sebagai medium menyatukan rakyat dan memperkukuh keharmonian masyarakat di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, semangat perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini terus disemarakkan menerusi sambutan Pesta Kaamatan.
“Tema sambutan tahun ini, ‘Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, amat signifikan dalam menggambarkan kehidupan rakyat Sabah yang hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan bersatu padu walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu di Pentas Terbuka, Padang Kota Marudu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri II, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Naib Presiden KDCA Pusat dan ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap; Pegawai Daerah Kota Marudu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu 2026, Meirin Sugara; serta Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu 2026, Datuk Dr. Christopher Mandut.
Dr. Joachim berkata, Kaamatan bukan sahaja perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun dan Murut, tetapi telah menjadi simbol perpaduan seluruh rakyat Sabah.
“Kita meraikan keharmonian yang kita kecapi di Sabah dan kita tuai persamaan serta perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, itulah kekuatan sebenar negeri ini yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, sambutan Kaamatan perlu dijadikan platform untuk memperkukuhkan hubungan masyarakat selain memelihara adat, budaya dan nilai warisan yang menjadi identiti rakyat Sabah sejak sekian lama.
Tambah beliau, semangat kebersamaan yang ditunjukkan masyarakat di Kota Marudu membuktikan bahawa perpaduan mampu menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan daerah serta negeri secara keseluruhan.
Dalam masa sama, beliau menyeru generasi muda agar terus menghargai budaya dan tradisi warisan sambil mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan dengan semangat perpaduan dan jati diri yang kukuh.
Pelbagai pengisian program diadakan sepanjang sambutan Kaamatan daerah itu termasuk Unduk Ngadau, Sugandoi, persembahan kebudayaan, pertandingan pameran agensi kerajaan, jualan produk tempatan serta penyertaan komuniti pelbagai lapisan masyarakat.






























