James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, James Ratib menggesa agar penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan semula lagu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan hak cipta serta kepentingan pengkarya dan penyanyi asal.
Beliau berkata, karya seni dan muzik tempatan perlu dihormati serta dilindungi supaya pengkarya tanah air dapat terus berkarya secara konsisten dan menyumbang kepada perkembangan industri seni kreatif tempatan.
“Menghormati hak cipta dan hasil karya asal adalah penting bagi memastikan industri seni tempatan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kreatif negara,” katanya ketika ditemui media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, kelmarin.
Menurutnya, trend penggunaan AI untuk menjana semula suara penyanyi asal serta mengolah karya tanpa kebenaran kini semakin membimbangkan.
Katanya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan teknologi berkenaan bagi menghasilkan semula lagu tanpa izin, sekali gus menjejaskan reputasi penyanyi dan integriti karya asal.
Pegawai Khas (Seni dan Kreatif) beliau, Jimmy Palikat sebelum ini turut menyeru agar Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif.
Beliau berkata, pemantauan dan tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi mengekang aktiviti tidak bertanggungjawab itu daripada terus berleluasa dalam ruang digital.
Isu berkenaan dilihat semakin mendapat perhatian apabila teknologi AI digunakan secara meluas dalam industri kreatif tanpa kawalan yang jelas, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat seni tempatan.






























