Rafie menerima cenderamata daripada penganjur pada majlis berkenaan.
KENINGAU: Usaha memperkasa identiti serta warisan etnik Dusun Gana terus diperkukuh apabila Mesyuarat Agung Kali Ke-2 Persatuan Gana Sabah (PGS) berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Kampung Buang Sayang, di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat itu dirasmikan Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert yang menekankan kepentingan perpaduan serta kerjasama berpasukan dalam kalangan ahli persatuan bagi mengangkat martabat etnik Dusun Gana sebagai antara etnik minoriti di Sabah.
Beliau berkata, usaha memperkukuh identiti budaya, bahasa dan warisan tradisi perlu digerakkan secara tersusun serta strategik supaya kekal relevan dan terus dihargai generasi masa kini dan akan datang.
“Perpaduan dan komitmen bersama amat penting bagi memastikan kelangsungan adat dan budaya Dusun Gana terus terpelihara. Perancangan rapi serta pelaksanaan program berimpak tinggi mampu memperkasakan lagi komuniti ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong segala aktiviti serta perancangan yang dilaksanakan PGS demi kemajuan dan pembangunan komuniti Dusun Gana di negeri ini.
Sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan dan hala tuju persatuan, Rafie turut bersetuju menyertai PGS sebagai Ahli Seumur Hidup.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Sekolah Adat Negeri Sabah, Rozie Gitang; Pengerusi Persatuan Bundu Liwan Keningau, Harry Gitik; serta Timbalan Pengerusi Pertubuhan Murut Naabai Sabah, Fred V. Marukau.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan persatuan, ahli serta komuniti setempat yang menyatakan sokongan padu terhadap perancangan dan hala tuju PGS dalam memperkasa masyarakat Dusun Gana.
Dalam pada itu, Rafie merakamkan penghargaan kepada pengerusi dan jawatankuasa PGS atas jemputan serta kepercayaan diberikan untuk merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-2 berkenaan.


































