Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memasuki tempoh 100 hari menunjukkan perkembangan positif di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, kata aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, kemajuan yang mula kelihatan dalam tempoh itu mencerminkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui parti tempatan, sekali gus membolehkan keputusan dibuat secara lebih bebas, bijaksana dan berpaksikan kepentingan wilayah serta rakyat.
“Sedikit atau banyak, perkembangan ini dipengaruhi oleh faktor kebebasan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan. Dengan GRS sebagai tonggak pemerintahan Sabah, keputusan yang diambil sering bersifat pro-wilayah dan pro-rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas pencapaian dalam sektor strategik, Aksyah berkata, penubuhan dan prestasi SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) menjadi bukti keupayaan Sabah menempatkan diri secara lebih tersusun dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, pegangan 20 peratus saham dalam sektor berimpak tinggi itu bukanlah jumlah kecil, lebih-lebih lagi dalam industri yang berskala besar dan bernilai tinggi.
“Walaupun tidak sampai sedekad ditubuhkan, SMJE memperlihatkan prestasi membanggakan. Kejayaan ini pastinya dipengaruhi faktor kecekapan pengurusan, integriti serta tadbir urus yang baik dengan fokus menjana pendapatan maksimum untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri wajar menjadikan SMJE sebagai penanda aras dalam usaha meningkatkan prestasi dan sumbangan dividen kepada Sabah.
Katanya, harapan Ketua Menteri agar GLC memberi sumbangan signifikan kepada negeri perlu disambut dengan komitmen tinggi oleh barisan kepimpinan dan pengurusan setiap syarikat.
“Bukan soal sektor itu berskala mega semata-mata, tetapi apakah resepi kejayaan yang boleh diteladani. Kita perlu melihat kepada akar dan asas pengurusan yang menjadi pemangkin kemajuan,” katanya.
Dalam masa sama, Aksyah turut menekankan kepentingan mekanisme semak imbang yang lebih sistematik bagi memastikan pelaksanaan SMJ 2.0 benar-benar mencapai sasaran ditetapkan.
Beliau berkata, sudah tiba masanya golongan pemikir dan pelaksana dasar memperkukuh kaedah pemantauan serta pengukuran kejayaan, bukan sekadar bersandar kepada naratif umum.
“Rakyat terus menilai. Mereka perlu dimaklumkan tentang kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0 bukan hanya dalam bentuk cerita, tetapi melalui angka dan data yang objektif.
“Penglibatan rakyat dalam memberi maklum balas juga perlu dilakukan secara bersistematik supaya ia membantu penambahbaikan pelaksanaan wawasan ini,” katanya.
Aksyah menegaskan, pendekatan semak imbang yang berkesan penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri bukan sekadar slogan, sebaliknya benar-benar dirasai manfaatnya oleh rakyat di seluruh Sabah.




























