Gambar Kenangan bersama pengunjung yang hadir.
MATUNGGONG: Pendekatan dasar yang terlalu bersifat neutral tanpa mengambil kira dimensi gender boleh memberi kesan pelaksanaan yang tidak seimbang dan menjejaskan tadbir urus pembangunan awam.
Menteri Kesejahteraan Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Julita Majungki berkata perbezaan peranan sosial, tanggungjawab keluarga dan akses kepada sumber serta peluang ekonomi antara lelaki dan wanita menuntut pendekatan pembangunan yang lebih sensitif kepada konteks setempat.
“Program Kepekaan Gender berperanan sebagai mekanisme pengukuhan kapasiti khususnya di peringkat daerah dan komuniti bagi memastikan perspektif gender dapat diintegrasikan secara lebih sistematik dalam pelaksanaan dasar.
“Program ini menyediakan ruang untuk membina kefahaman yang lebih mendalam, memperbetulkan persepsi serta memperkukuh keupayaan pelaksana dasar dalam menangani isu kesaksamaan gender secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kepekaan Gender: Genderasi Harmoni ‘Bergerak Bersama untuk Kesaksamaan’ peringkat Daerah Kecil Matunggong yang dihadiri 260 pengunjung, pada Jumaat.
Julita berkata, pendekatan itu selaras dengan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12 yang menekankan keperluan pembangunan negara bersifat menyeluruh, seimbang dan mampan.
Menurutnya, dalam landskap pembangunan masa kini kesaksamaan gender bukan lagi satu pilihan sebaliknya keperluan penting bagi memastikan kemajuan negara yang adil, lestari dan inklusif.
“Kesaksamaan gender tidak bermaksud semua perkara perlu disamaratakan sebaliknya setiap individu sama ada lelaki atau wanita harus diberikan ruang dan peluang yang setara untuk menyumbang mengikut keupayaan dan potensi masing-masing,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah (JHEWA) Haslina Ismail; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tina Maralin serta wakil-wakil ketua jabatan.






























