Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan mengambil maklum isu kesesakan yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini berhubung operasi di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian bersama agensi berkaitan telah merangka dan menyelaras Pelan Tindakan Sementara (Interim) sebagai langkah mitigasi sementara menunggu penyiapan projek pembesaran pelabuhan yang sedang dilaksanakan.
“Pelan interim yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri ini memberi tumpuan kepada pengoptimuman kapasiti sedia ada, pengurusan aliran kontena yang lebih cekap serta penguatkuasaan peraturan operasi pelabuhan,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah utama yang telah dirangka dan akan dilaksanakan termasuk pewujudan satu kawasan container yard tambahan sementara berhampiran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena dan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan.
“Kemudahan ini dijangka mula beroperasi pada hujung Mac 2026, tertakluk kepada penyempurnaan kerja-kerja penyediaan tapak dan keperluan operasi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon berkata, pelaksanaan segera kadar tarif penyimpanan kontena yang disemak semula atau revised deterrent charges akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelepasan kontena dengan lebih pantas, seterusnya mengurangkan kesesakan di kawasan penyimpanan kontena.
Katanya, di bawah Seksyen 46, Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) 1981, LPPS mempunyai kuasa untuk melupuskan atau melelong kontena yang disimpan melebihi tempoh ditetapkan.
“Sehubungan itu, pihak operator pelabuhan dan LPPS akan mengeluarkan notis rasmi kepada pemilik kontena terlibat bagi mengarahkan pengalihan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum tindakan lanjut seperti pelupusan atau lelongan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, tempoh penyimpanan kontena secara percuma semasa musim puncak akan dihadkan kepada tiga hari berbanding lima hari bagi meningkatkan kadar pusing ganti kontena dan mengurangkan kesesakan ketika pelabuhan beroperasi pada tahap penggunaan kapasiti yang tinggi.
Tambahnya, satu tapak parkir trailer di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah dikenal pasti untuk digunakan bagi menyokong kelancaran operasi logistik serta mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan.
Ewon berkata, semua syarikat pengangkutan yang terlibat akan diwajibkan menggunakan Vehicle Booking System (VBS) secara menyeluruh bagi menyusun pergerakan kenderaan secara lebih terancang dan terkawal.
“Bagi mempercepatkan proses taksiran dan pelepasan kargo, semua agensi kerajaan berkaitan akan melaksanakan operasi lebih masa atau mekanisme sokongan di luar waktu pejabat termasuk hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan proses kelulusan dapat dilaksanakan secara berterusan selaras dengan operasi pelabuhan 24 jam sehari,” katanya.
Menurut beliau, operator pelabuhan juga akan mengambil langkah proaktif untuk menaik taraf dan menambah peralatan pengendalian kontena bagi meningkatkan kapasiti operasi tanpa menunggu sepenuhnya pelaburan jangka panjang.
“Pelaksanaan pelan tindakan interim ini amat penting dari sudut keperluan operasi segera dan impak langsung terhadap pengurangan kesesakan. Kementerian yakin langkah-langkah ini mampu mengekalkan daya saing Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, memastikan kelangsungan rantaian bekalan serta memelihara keyakinan pemain industri dan pelabur sehingga pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menegaskan kementerian akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah berkenaan secara rapi serta bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dan penambahbaikan berterusan demi kepentingan ekonomi Sabah.
LAPAN LANGKAH UTAMA
1. Pewujudan container yard tambahan sementara
Satu kawasan container yard tambahan sementara berhampiran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar akan diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena dan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan. Kemudahan ini dijangka mula beroperasi pada hujung Mac 2026, tertakluk kepada penyempurnaan kerja-kerja penyediaan tapak dan keperluan operasi berkaitan.
2. Pelaksanaan segera kadar tarif baharu (revised deterrent charges)
Kadar tarif penyimpanan kontena yang disemak semula akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelepasan kontena dengan lebih pantas, seterusnya mengurangkan kesesakan di kawasan penyimpanan kontena.
3. Penguatkuasaan peraturan terhadap kontena melebihi tempoh simpanan
Di bawah Seksyen 46, Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) 1981, LPPS mempunyai kuasa untuk melupuskan atau melelong kontena yang disimpan melebihi tempoh ditetapkan. Sehubungan itu, pihak operator pelabuhan dan LPPS akan mengeluarkan notis rasmi kepada pemilik kontena terlibat bagi mengarahkan pengalihan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum tindakan lanjut seperti pelupusan atau lelongan dilaksanakan.
4. Pengurangan tempoh penyimpanan kontena secara percuma semasa musim puncak(peak season)
Tempoh penyimpanan percuma akan dihadkan kepada tiga (3) hari daripada lima (5) hari yang ditetapkan semasa musim puncak (peak season). Langkah ini bertujuan meningkatkan kadar pusing ganti kontena dan mengurangkan kesesakan ketika pelabuhan beroperasi pada tahap penggunaan kapasiti yang tinggi.
5. Penyediaan tapak parkir trailer di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP)
Sebagai sokongan kepada kelancaran operasi logistik, satu tapak parkir trailer di KKIP telah dikenalpasti untuk digunakan. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan serta melancarkan pergerakan keluar masuk trailer dan kontena.
6. Pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS)
Semua syarikat pengangkutan yang terlibat akan diwajibkan menggunakan Vehicle Booking System (VBS) secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada keperluan operasi, bagi menyusun pergerakan kenderaan secara lebih terancang dan terkawal.
7. Penyelarasan waktu operasi Agensi Kerajaan di Pelabuhan Kontena Sapangar
Bagi mempercepatkan proses taksiran dan pelepasan kargo, semua agensi kerajaan berkaitan akan melaksanakan operasi lebih masa atau mekanisme sokongan di luar waktu pejabat, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum. Langkah ini bertujuan memastikan proses kelulusan dapat dilaksanakan secara berterusan selaras dengan operasi pelabuhan 24 jam sehari.
8. Menaik taraf dan penambahan peralatan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar
Operator pelabuhan akan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ketersediaan peralatan pengendalian kontena melalui penambahan peralatan dan kelengkapan sokongan operasi. Pendekatan ini membolehkan peningkatan kapasiti operasi dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu pelaburan jangka panjang sepenuhnya.






























