KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) akan melipatgandakan usaha bagi menjayakan pelaksanaan Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 khususnya dalam sektor perindustrian.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pelan berkenaan menggariskan agenda besar pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri yang perlu disokong oleh kecekapan logistik serta pelabuhan.
Menurutnya, mandat tersebut selari dengan peranan kementerian itu yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem perindustrian dan keusahawanan secara menyeluruh serta disepadukan dengan portfolio pengangkutan, khususnya pelabuhan dan logistik.
“Saya telah mengemukakan pandangan awal kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya dan pandangan tersebut telah dimasukkan ke dalam Pelan Halatuju SMJ 2.0 ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kejohanan Taekwando Kota Belud, di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini, hari ini.
Ewon berkata, seluruh warga kementerian akan meningkatkan komitmen bagi memastikan pelaksanaan pelan itu berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan membentangkan cadangan penyelesaian interim berkaitan isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada Mesyuarat Kabinet Sabah pada minggu hadapan.
Katanya, meskipun projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar sedang dilaksanakan untuk penyelesaian jangka panjang, namun projek berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk disiapkan, justeru langkah interim perlu dilaksanakan segera bagi menangani kesesakan sedia ada.
“Cadangan penyelesaian ini telah diedarkan kepada anggota Jemaah Menteri. Sekiranya dipersetujui, saya yakin ia mampu meredakan kesesakan dan memberikan kelegaan kepada pemain industri,” katanya.
Katanya lagi, langkah itu penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan penggiat industri dalam sektor perindustrian dan keusahawanan di Sabah.
Selepas isu Pelabuhan Sepanggar ditangani, Ewon berkata kementeriannya akan memberi fokus kepada pembangunan serta peningkatan kecekapan Pelabuhan Sandakan dan Pelabuhan Tawau.
“Saya yakin usaha bersepadu ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada kejayaan SMJ 2.0, malah meningkatkan keyakinan pelabur dan pemilik perniagaan bahawa isu kecekapan pelabuhan sedang ditangani secara serius oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Mengenai kejohanan itu Ewon berkata, beliau akan terus memberi sokongan terutamanya penganjuran di kawasan Kota Belud.
“Semoga para peserta memenangi pingat pengalaman, pingat persahabatan dan pingat disiplin selain daripada pingat kejohanan,” katanya.
Kejohanan itu disertai 180 peserta dari daerah Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kota Kinabalu, Keningau, Beaufort dan Putatan.






























