Shahelmey Yahya
KUALA LUMPUR: Kewujudan semula portfolio yang bertanggungjawab secara khusus terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak susulan rombakan Kabinet Madani baru-baru ini amat dinantikan, khususnya berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, langkah tersebut diharap dapat memberi impak positif terhadap perkembangan dan kemajuan pelaksanaan MA63.
Menurut beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini dipimpin oleh tokoh berasal dari Sabah diyakini mampu mengemudi pelaksanaan agenda berkaitan secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, kesepakatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dilihat mampu memberi kesan signifikan terhadap pelaksanaan MA63, selari dengan suasana keharmonian yang wujud di negara ini.
“Selaku wakil rakyat dari Sabah, Putatan amat berbesar hati dan menghargai keprihatinan Baginda Tuanku terhadap (MA63).
“Bahkan, kewujudan semula portfolio yang bertanggungjawab secara khusus terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak hasil rombakan Kabinet Madani pada akhir Disember lalu dijangka memberi impak positif kepada pelaksanaan MA63.
“Kita berharap Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini dipimpin oleh Ahli Parlimen Sepanggar dapat mengemudi setiap ikhtiar serta perancangan penting bagi memuktamadkan setiap perkara di bawah MA63 secara jelas dan berstruktur, bersandarkan lunas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Shahelmey turut menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung kajian semula kadar Pemberian Khas Negeri Sabah boleh menjadi pemangkin ke arah merangka kaedah terbaik bagi memformulasikan kadar tetap pemberian tersebut.
Beliau berkata demikian ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, selain isu MA63, beliau turut menggariskan dua perkara lain dalam perbahasannya, iaitu berkaitan Dasar Pendidikan Negara 2035 serta kelewatan penyiapan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.
“Bagi dasar pendidikan, saya menyuarakan kebimbangan bahawa isu keciciran pendidikan merupakan masalah berpanjangan yang memerlukan pelan penyelesaian tuntas daripada Kementerian Pendidikan.
“Manakala bagi isu pembangunan di Sabah, Putatan membangkitkan kelewatan penyiapan projek pembangunan dan meminta kementerian berkaitan memperincikan tempoh serta status pelaksanaan projek-projek tersebut,” katanya.






























