KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) memberi keutamaan khusus terhadap usaha menangani isu sekolah daif di seluruh negeri sebagai teras utama memastikan keselamatan, maruah pendidikan dan keadilan sosial untuk setiap anak Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, sekolah daif bukan sekadar isu fizikal bangunan, sebaliknya membabitkan keselamatan murid dan guru serta kelangsungan proses pembelajaran yang bermaruah.
“Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk terus memperjuangkan dan membangunkan sekolah-sekolah daif berskala 6 dan 7 di seluruh Sabah kerana ia melibatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga pendidik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri KPSTI yang dihadiri pembantu menteri, pegawai kanan kementerian, pengarah jabatan serta wakil agensi berkaitan di sini hari ini.
James berkata, kementerian komited menjadi suara tegas di peringkat negeri dan Persekutuan dengan menyediakan data yang tepat dan terkini bagi memastikan setiap projek pembaikan dan pembinaan sekolah daif dilaksanakan secara berintegriti, telus dan berimpak tinggi.
Beliau menegaskan tanggungjawab kementerian bukan sekadar melaporkan masalah, tetapi memastikan penyelesaian dilaksanakan secara berkesan demi menjamin hak pendidikan yang selamat untuk semua murid.
Dalam konteks cabaran geografi dan jurang pembangunan bandar-luar bandar di Sabah, James berkata, keutamaan kementerian adalah memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada sistem pendidikan, termasuk di kawasan pedalaman, pulau dan terpencil.
Sehubungan itu, katanya, usaha memperluas akses pendidikan yang saksama turut disokong melalui kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia serta bantuan berterusan kepada sekolah-sekolah luar bandar.
Beliau memaklumkan kementerian akan membekalkan 45,000 unit komputer riba kepada sekolah terlibat sebagai sebahagian agenda pendigitalan pendidikan.
Selain itu, pemasangan kemudahan Starlink turut dilaksanakan bagi meningkatkan capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekangan komunikasi.
James berkata, kementerian juga menyediakan panel solar dan genset kepada 68 sekolah luar bandar dan pedalaman yang berdepan masalah bekalan elektrik dan komunikasi.
Bagi memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran, sebanyak 1,500 sekolah akan dibekalkan papan pintar atau smartboard selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Sebagai Exco Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau menegaskan komitmen membantu memastikan kelancaran pelaksanaan Projek JENDELA Fasa 2 bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
“Projek ini amat penting dalam menyokong agenda pendigitalan pendidikan, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di Sabah,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada MCMC atas usaha memperluas infrastruktur komunikasi luar bandar.
Menyentuh aspek tatakelola, James mengarahkan semua jabatan dan agensi memaklumkan sebarang permasalahan secara tepat dan segera bagi membolehkan isu pendidikan diangkat dan dirundingkan di peringkat Persekutuan.
Beliau turut menegaskan keperluan mematuhi prinsip integriti dalam setiap proses perolehan dan pelaksanaan projek agar tiada ruang ketirisan, salah guna kuasa atau pembaziran.
Dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan, beliau menekankan kepentingan kualiti guru dan kepimpinan sekolah yang berwibawa, berintegriti dan berfokuskan hasil.
James juga memaklumkan pelaksanaan Malaysia University English Test (MUET) akan diteruskan dengan peruntukan RM1.5 juta bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Dalam aspek sains, teknologi dan inovasi, beliau menyeru warga kementerian agar lebih terbuka membawa masuk teknologi baharu termasuk penerokaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) secara bertanggungjawab dan beretika.
Katanya, AI membuka peluang besar dalam pembelajaran tersuai, sokongan kepada guru serta analisis prestasi pelajar, namun tidak boleh menggantikan peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing.
James menyatakan keyakinan terhadap keupayaan warga KPSTI untuk bergerak seiring sebagai satu pasukan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah di hadapan demi membina sistem pendidikan yang selamat, bermaruah dan berkualiti.


























