Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Polis
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu, sekali gus menyebabkan kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di lot parkir Taman Suria Apartment, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah pacuan empat roda (4WD) dan dua buah kereta yang sedang diparkir.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan 4WD itu dipercayai mengalami serangan jantung secara mengejut ketika memandu sebelum gagal mengawal kenderaan dan merempuh dua buah kereta berkenaan.
“Pemandu tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiada kecederaan fizikal dialami akibat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR), manakala kes kemalangan disiasat di bawah Rule 10, LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Tambahnya, sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan keselamatan awam, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan pencegahan.


























