SHAH ALAM: Penantian tiga lelaki selama empat tahun berakhir hari ini apabila mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada pertuduhan mengedar lebih 96 kilogram dadah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Hakim, Dr. Wendy Ooi Su Ghee membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kelemahan serius dalam kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Mereka ialah Muhammad Amiruddin Abd. Hadi, 30, Vijandran Nair a/l Vijayakumaran, 35, dan Muhammad Faiz Ahmad, 36.
Ketiga-tiganya didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 96,700.3 gram di tepi sebuah rumah di No. 13, Jalan 11, Taman Batu Caves, Gombak, Selangor, kira-kira jam 3 petang, 6 Ogos empat tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd. Ali.
Tertuduh pertama diwakili oleh Nik Saiful Adli Burhan, Muhamad Asri Abdul Hamid dan Md. Yusuf Md. Idris; tertuduh kedua diwakili oleh Zulkifli Awang dan Mohd. Ruzaini Zulkifli; manakala tertuduh ketiga diwakili oleh Datuk Geethan Ram Vincent.
Dalam alasan ringkas penghakiman, hakim menyatakan terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya berkaitan pengecaman barang kes dan jumlah kotak dadah yang dirampas.
Mahkamah turut mengambil perhatian terhadap kegagalan polis mengemukakan gambar semasa rampasan, selain kegagalan mengemukakan rakaman CCTV asal walaupun diminta pihak forensik, sebaliknya hanya mengemukakan rakaman yang telah disunting.
Selain itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting yang material serta pegawai penyiasat tidak menyiasat keterangan yang diberikan oleh tertuduh, sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes pendakwaan dan memprejudiskan pembelaan.
Susulan itu, ketiga-tiga tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.





























