Pusat Media PRK Kinabatangan yang terletak di NADI Kota Kinabatangan.
KINABATANGAN : Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong keperluan pengamal media sepanjang tempoh PRK berlangsung.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Dr. Diana Dominic berkata, Pusat Media tersebut telah ditubuhkan di NADI Kota Kinabatangan sempena PRK Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag.
Menurut beliau, Pusat Media berkenaan mula beroperasi pada 10 Januari hingga 24 Januari 2026 dan berfungsi sebagai one-stop centre kepada pengamal media tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan ruang kerja serta kemudahan sokongan sepanjang PRK.
“Dijangkakan seramai kira-kira 30 pengamal media akan menggunakan kemudahan yang disediakan di Pusat Media ini,” katanya.

Diana ketika ditemui media.
Beliau menjelaskan, penubuhan Pusat Media ini bertujuan menyediakan kemudahan dan sokongan kepada pengamal media selain menjadi hab penyelarasan maklumat rasmi sepanjang tempoh PRK, sekali gus memastikan penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan terkini kepada orang awam.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang kerja yang kondusif dengan kemudahan internet berkelajuan tinggi sehingga 1Gb, peralatan ICT yang bersesuaian serta perkhidmatan rangkaian internet yang stabil. Selain itu, turut disediakan ruang makan ringan (coffee corner) dan makanan bagi keselesaan pengamal media.
“Dengan kemudahan yang lengkap ini, ia dapat membantu melancarkan tugasan pengamal media dalam menyediakan pelaporan berita,” katanya.
Pusat Media PRK Kinabatangan beroperasi setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam dan rakan-rakan media dialu-alukan untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
Tambah beliau, lokasi Pusat Media ini juga strategik kerana terletak berhampiran jalan utama serta berdekatan dengan Dewan Sri Lamag yang merupakan lokasi pusat penamaan calon dan pusat pengiraan undi.
“Setakat ini, kehadiran pengamal media amat menggalakkan. Selain itu, calon juga dialu-alukan untuk menggunakan Pusat Media ini memandangkan kemudahan bagi sidang media turut disediakan,” ujarnya ketika ditemui media di Pusat Media PRK Kinabatangan, pada Ahad.
Antara agensi yang terlibat dalam pelaksanaan Pusat Media ini ialah Kementerian Komunikasi, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta NADI.




























