Hajiji (tengah) bersama Dr Zhu (kiri) dan Mandela semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur asing, khususnya dari Republik Rakyat China, untuk meneroka peluang pelaburan strategik di Sabah bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar merangkumi pelbagai sektor utama termasuk minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan, pertanian moden serta industri berkaitan teknologi hijau.
Beliau berkata, kerjasama pelaburan dengan China dilihat mampu memberi manfaat bersama, khususnya dari segi pemindahan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan rantaian ekonomi tempatan.
“Sabah sentiasa mengalu-alukan pelabur asing yang berminat untuk melabur di negeri ini kerana terdapat banyak sektor ekonomi berpotensi yang boleh diterokai secara bersama dan berdaya maju untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Zhu Xinglong bersama pegawainya di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menyatakan harapan agar Pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dapat membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan dan pelabur dari China.
Sementara itu, Dr Zhu memaklumkan Ketua Menteri mengenai pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh pejabatnya dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kebudayaan antara Sabah dan China.
Beliau juga menjemput Hajiji untuk menghadiri beberapa majlis rasmi yang akan dianjurkan oleh Pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu tahun hadapan, selain menyampaikan jemputan rasmi kepada Ketua Menteri untuk melawat beberapa wilayah di China bagi meneroka kerjasama perdagangan yang lebih luas.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.




























