Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuduh Barisan Nasional (BN) Sabah mengamalkan sikap pilih bulu dan mengetepikan kepentingan negeri dalam isu hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk dalam pelaksanaan program pembangunan di peringkat kampung.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan memindahkan kuasa pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Putrajaya selepas BN tidak lagi bersama Kerajaan Negeri jelas bercanggah dengan semangat federalisme serta MA63.
Beliau menjelaskan bahawa selepas BN keluar daripada Kerajaan Negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak lagi menyalurkan elaun JKKK kepada Sabah. Sebaliknya, KKDW melantik pentadbiran kampung sendiri melalui Jawatankuasa Komuniti Desa Madani.
Ini menurutnya menyebabkan senarai pentadbiran kampung perlu diluluskan Putrajaya, bukan Kerajaan Negeri dan setiap kampung kini mempunyai dua jawatankuasa iaitu JKKK (Negeri) dan JKDM (Pusat), sekali gus mencetuskan perpecahan ala ‘divide and rule’.
“Akibat tindakan itu, Kerajaan Negeri Sabah terpaksa menanggung RM20 juta setahun bagi mencukupkan elaun JKKK, suatu jumlah yang mampu menampung naik taraf sekitar 40 kilometer jalan konkrit atau aspal di kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan menegaskan yakin bahawa pendekatan itu dicadangkan UMNO dan BN Sabah kepada KKDW.
Di Sarawak tidak ada JKDM kerana UMNO dan BN tidak wujud di sana, katanya sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai polisi “MA63 ke laut”.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini memberi amaran kononnya Kerajaan Persekutuan boleh bankrap jika melaksanakan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.
“Ini sama dengan nada seorang mantan Menteri Persekutuan semasa era BN.
“Rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana kesungguhannya memperjuangkan hak Sabah,” katanya.
Selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus, beberapa pemimpin utama BN dan UMNO menyatakan parti itu sejak 2016 berkomitmen mengembalikan apa yang pernah terambil.
Armizan menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘pengakuan bersalah’ kerana mengakui wujud pengambilan hak rakyat Sabah sebelum ini.
Namun Armizan mengingatkan bahawa Sabah harus berhati-hati menerima aku janji tersebut kerana apa yang dilafaz tidak seperti yang dibuat, selain tindakan mereka sering mengutamakan kepentingan parti berbanding negeri.
Armizan turut membalas serangan peribadi Bung yang mendakwa GRS kerajaan paling gagal di dunia.
“Kalau GRS dikatakan paling gagal, Bung pula Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah paling gagal dalam sejarah peradaban manusia,” katanya.
Beliau berkata, tuduhan Bung tidak berasas kerana rekod semasa beliau di KKR menunjukkan kegagalan menyelesaikan isu legasi rakyat termasuk air dan elektrik.
Katanya, fenomena BungSpeed hanya kerja rutin seperti penampalan jalan atau naik taraf kecil yang memang sudah ada peruntukan, manakala isu besar yang memerlukan keberanian dan kebijaksanaan tidak dirintis.
Antara projek kritikal yang tidak berjaya dimajukan semasa Bung menerajui KKR termasuk naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon di Papar, Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 di Tawau dan pembinaan Grid Southern Link.
“Semua isu ini hanya berjaya diselesaikan selepas Bung tidak lagi dalam Kerajaan Negeri,” kata Armizan.
Menjawab dakwaan BN berhubung kononnya kenaikan harga LPG, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan harga LPG masih kekal bersubsidi sepenuhnya.
Beliau menyifatkan tindakan menyebarkan dakwaan itu sebagai mengelirukan rakyat dan mensabotaj kerajaan sendiri.
Armizan turut menangkis dakwaan BN bahawa penurunan kuasa meluluskan projek di bawah RM50 juta kepada JKR dan JPS Sabah kononnya hasil ketegasan Bung.
Beliau menjelaskan bahawa tuntutan itu sebahagian daripada rundingan MA63 yang tidak pernah dipersetujui sebelum ini dan hanya diluluskan selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.
Pada 21 Disember 2022, Armizan membentangkan isu tertunggak MA63 dan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lampu hijau. Pada 4 Januari 2023, Kabinet Malaysia meluluskan penurunan kuasa berkenaan.
“Ini komitmen Perdana Menteri, bukan jasa individu,” katanya sambil mengingatkan agar tiada pihak membuat tuntutan melampau sehingga menafikan hakikat sebenar.
Armizan menyeru rakyat Sabah menilai dengan jernih dan memilih dengan bijaksana.
“Pada 29 November ini, jangan sampai kita bikin terbalik Sabah. Pilihan kita menentukan masa depan negeri,” katanya.






























