Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu bersifat bersatu, dan menempelak Parti Warisan yang didakwanya sering mempamerkan “wayang politik” dalam isu tersebut.
“Ya, semua pihak dan semua Sabahan patut bersatu dalam memaknai MA63. Bukan meminta atau menuntut yang bukan-bukan, kita hanya mahu hak-hak kita sebagaimana yang telah dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963 iaitu sijil lahir kepada Persekutuan Malaysia,” jelasnya.
Armizan berkata, masalah timbul apabila terdapat pihak di Sabah yang mendakwa mereka “terpaling MA63” sambil menafikan usaha pihak lain, namun tindakan mereka sendiri tidak selari dengan dakwaan tersebut.
“Bila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) berhubung hak 40% special grant Sabah, Warisan terus mencanang seolah-olah mereka hero dalam perjuangan itu. Namun, hakikatnya, ini hipokrasi Warisan dan pemimpinnya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” tegas beliau.
Beliau mengimbas kembali rekod rasmi Warisan dan Shafie ketika memerintah antara 2018 hingga 2020. Menurutnya, pada 7 Ogos 2019, semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Warisan menolak membawa isu tuntutan hak Sabah ke mahkamah.
“Kerajaan Negeri ketika itu tidak mengambil pendekatan untuk mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana dianggap langkah yang tidak elok. Begitu juga dalam isu hak minyak dan gas, apabila Sarawak berjaya menuntut hak 5% Cukai Jualan Negeri (CJN) daripada PETRONAS melalui saluran perundangan, Shafie enggan bersama Sarawak mencabar PETRONAS,” kata Armizan.
Beliau berkata, apabila SLS berjaya memperjuangkan hak Sabah di mahkamah baru-baru ini, Warisan segera tampil sebagai ‘hero’, sedangkan peranan sebenar Kerajaan Negeri yang diterajui GRS diiktiraf secara jelas oleh SLS sendiri.
Menurutnya, dalam kenyataan media SLS pada 17 Oktober 2025, peranan Kerajaan Negeri GRS telah membantu memperkukuh kes tuntutan hak 40% Sabah. Antara bukti yang dibawa ke mahkamah termasuk:
* Penjelasan rekod sejarah peningkatan hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah antara 1964 hingga 1968;
* Pengesahan bahawa tiada rekod rasmi perundingan untuk menyemak kadar special grant antara 1974 hingga 2021;
* Konsistensi pendirian bahawa 40% adalah hak Sabah yang tetap berkuat kuasa dan hak untuk menuntut tunggakan semakan kadar special grant bermula 1974.
“Ini adalah hakikat pendirian dan perjuangan Kerajaan Negeri pimpinan GRS dalam mendapatkan hak 40%. Apa pula rekod Kerajaan Warisan ketika memerintah dahulu? Mereka menegaskan ia tidak wajar menentang Kerajaan Persekutuan di mahkamah,” tambah beliau.
Armizan menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh menghalang perjuangan hak Sabah, namun apabila pihak tertentu menuduh GRS sebagai pengkhianat, pihaknya berasa perlu menjawab dakwaan tersebut.
Beliau menyeru rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan dakwaan hipokrasi Warisan dan memilih GRS dalam usaha memelihara hak serta kesejahteraan negeri.
“Jadi, ayuh selamatkan Sabah daripada hipokrasi Warisan. Pilihlah GRS – Rumah Kita, Kita Jaga,” tegas Armizan.






























