Hajiji menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing antara Kerajaan Negeri Sabah dan Maybank Group Global Banking di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekonomi mampan apabila Kerajaan Negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama Maybank Group Global Banking bagi memperkukuh pelaksanaan agenda Ekonomi Biru di negeri ini.
Majlis menandatangani MoU itu yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini, menandakan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai peneraju utama pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan maritim di rantau ini.
Menurut Hajiji, MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkenalkan Pembiayaan Mampan Berasaskan Ekonomi Biru (Blue Financing), yang akan membuka akses kepada kemudahan kewangan bagi projek, penyelidikan dan syarikat yang memberi impak positif kepada ekonomi serta alam sekitar — termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Melalui kerjasama ini, Maybank bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan, malah turut menawarkan khidmat nasihat, pemantauan dan jaringan industri bagi menyokong pelaksanaan projek-projek Ekonomi Biru di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Blue Financing berperanan sebagai pemangkin transformasi Ekonomi Biru melalui penerapan teknologi maju, pembangunan hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan harta intelek (IP), pewujudan peluang pekerjaan serta pengukuhan daya saing ekonomi negeri.

Beliau berkata, dengan garis pantai sepanjang 2,383 kilometer dan kawasan perairan yang luas, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai potensi terbesar untuk membangunkan ekonomi berasaskan laut di Malaysia.
“Namun, potensi besar ini belum dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini. Justeru, Dasar Ekonomi Biru Sabah diperkenalkan bagi mempelbagaikan struktur ekonomi negeri serta memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif,” jelasnya.
Hajiji menegaskan bahawa kerjasama strategik dengan Maybank akan mempercepatkan usaha menjadikan Sabah sebagai hab Ekonomi Biru yang progresif dan mampan, sekaligus memberi manfaat langsung kepada rakyat serta komuniti pesisir menerusi peningkatan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.
Bagi memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu sebagai platform penyelarasan utama bagi dasar dan strategi pelaksanaan Ekonomi Biru.
Katanya, penubuhan MEBS membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi laut dan sumber maritim negeri secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji turut menyoroti kejayaan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan pelabuhan bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam — satu langkah penting dalam meningkatkan nilai tambah industri perikanan negeri.
Selain itu, beliau berkata, pewujudan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat akan menjadi pemangkin kepada pelaburan dalam bidang teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui serta pemprosesan makanan laut bernilai tambah tinggi.
Hajiji turut menyentuh kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara sebagai bukti bahawa Sabah kini diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang pembangunan Ekonomi Biru.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maybank atas kepercayaan dan komitmen mereka dalam merealisasikan inisiatif Blue Financing di Sabah.
“Saya menyeru semua usahawan muda dan pemain industri agar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai pemangkin transformasi Ekonomi Biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.


























