Liew menyampaikan sumbangan lampu solar di majlis tersebut.
TAWAU: Pewartaan Kampung Sentosa Blok 4 menjadi bukti nyata keprihatinan kerajaan Sabah terhadap rakyat, di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, menyifatkan pewartaan tersebut sebagai bukti kepimpinan berjiwa rakyat, yang sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat berbanding nilai komersial.
“Majlis ini bukan untuk saya, tetapi untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya di sini semalam.
Liew menegaskan, tindakan pewartaan ini bukan sekadar simbolik, tetapi membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat mendapat hak dan manfaat sebenar, selaras dengan semangat Sabah Maju Jaya.
“Saya menyeru masyarakat agar terus bersatu dan mengekalkan kestabilan politik, demi kesinambungan pembangunan yang sedang dinikmati penduduk negeri ini,” katanya.
Menurutnya, sebagai tanda sokongan kepada penduduk, beliau turut menyampaikan sumbangan tunai bagi aktiviti gotong-royong serta enam unit lampu solar untuk kemudahan penduduk kampung.
“Sebagai pemimpin saya melahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas perhatian kerajaan negeri yang dianggap benar-benar memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita menyifatkan pewartaan ini bukan sahaja memberi kelegaan, tetapi turut meningkatkan semangat perpaduan dalam komuniti,” jelas Liew.


























