KUALA LUMPUR: Kelab Rakan Muda (KRM) Tawau mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Badan Operasi Terbaik sempena Majlis Penganugerahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas 2025, yang berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Majlis penganugerahan berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menyampaikan sijil dan pengiktirafan kepada penerima Anugerah ARPRM Tahap Emas dari seluruh negara.
Seramai 20 remaja dari Tawau telah ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas, yang juga dikenali sebagai The Duke of Edinburgh’s International Award, menjadikan KRM Tawau badan operasi yang melahirkan penerima Emas terbanyak bagi tahun 2025.
Penerima-penerima anugerah dari KRM Tawau terdiri daripada ahli jawatankuasa kelab, pelajar dari SMK Tawau, SMK Jalan Apas Tawau, serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tawau dan IPGM Kampus Gaya.
Menurut kenyataan KRM Tawau, kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan komitmen tinggi para peserta, mentor serta pihak pengurusan yang konsisten menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan diri, khidmat masyarakat dan pengembaraan bagi memenuhi syarat penganugerahan.
Turut hadir mengiringi peserta ARPRM Emas dari Sabah ialah Noorman Ramlan, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Pembangunan) Negeri Sabah, bersama dua pemimpin atau mentor ARPRM Emas KRM Tawau, Alex Dennis dan Nursayfaesyah Foo Mohd. Sayful.
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) merupakan program pembangunan belia yang diadaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s International Award di London. Ia memberi pengiktirafan kepada remaja atas penglibatan aktif dalam aktiviti yang menyumbang kepada kematangan, disiplin dan pembangunan sahsiah diri.
Program ini bersifat fleksibel dan tidak berorientasikan pertandingan, dengan fokus kepada pencapaian individu melalui empat komponen utama: kemahiran, rekreasi fizikal, khidmat masyarakat dan pengembaraan.
ARPRM terbuka kepada semua remaja berumur 14 hingga 24 tahun, tanpa mengira jantina, agama, latar belakang budaya atau kemampuan fizikal dan mental.
Terdapat tiga tahap penyertaan dalam program ini – Gangsa, Perak dan Emas – dengan tahap Emas merupakan pengiktirafan tertinggi yang diiktiraf di 144 buah negara di seluruh dunia.
Kejayaan KRM Tawau ini sekali gus mengangkat nama Sabah di peringkat kebangsaan, membuktikan bahawa usaha gigih dan semangat belia di negeri itu terus menyinar dalam program pembangunan generasi muda di bawah inisiatif Rakan Muda.



























