Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden GRS di Seri Gaya hari ini.
KOTA KINABALU: Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi menegaskan bahawa hak 40 peratus Sabah adalah hak perlembagaan yang mesti dihormati sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden GRS di Seri Gaya di sini hari ini, gabungan itu berkata, ia mengambil maklum alasan penghakiman yang disampaikan oleh mahkamah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas 40 peratus bagi tempoh 1974 hingga 2021.
“Perkara ini bukan sekadar isu undang-undang — ia menyentuh soal maruah perlembagaan. Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan asas utama kepada persetujuan Sabah dalam pembentukan Malaysia,” kata Majlis itu.
Majlis berkenaan berkata, penghakiman tersebut hanya memberi kesan kepada apa yang telah termaktub dan dipersetujui sejak awal, sambil menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
“Mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan — hanya mengarahkan semakan perlembagaan yang telah lama tertangguh dilaksanakan mengikut Artikel 112C dan 112D. Untuk membuat rayuan bermakna menolak proses rundingan itu sendiri, bukan keputusannya,” katanya.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk meneliti dengan mendalam alasan penghakiman berkenaan.
“Kerajaan Negeri bersedia dan komited untuk mengadakan rundingan bermakna dengan Kerajaan Persekutuan selaras dengan arahan mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan perjanjian mengenai apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah,” katanya.
Majlis itu menegaskan bahawa terlalu lama rakyat Sabah — dari Pitas hingga ke Pensiangan — menanggung kesusahan akibat ketidaksamarataan dan kelewatan menunaikan hak yang dijamin.
“Apabila lampu padam di bilik darjah seorang anak, apabila seorang ibu terpaksa berjalan berjam-jam untuk ke hospital, apabila anak muda kita berhijrah kerana tiada masa depan di sini — itu bukan sekadar statistik. Itulah kesan sebenar dekad demi dekad ketidaksamarataan,” katanya.
Namun begitu, Majlis itu menegaskan bahawa Sabah akan terus menzahirkan rasa hormat dan kerjasama dengan Perdana Menteri di bawah pimpinan Hajiji.
“Sabah akan sentiasa mengekalkan hubungan kerja yang membina dan saling menghormati dengan Putrajaya. Kami berdiri teguh menyokong penuh Perdana Menteri. Sebagai rakyat Malaysia, kami berbangga dengan kepimpinan beliau yang berwibawa dan telah mengangkat nama negara di pentas dunia,” kata Majlis itu.
Majlis tersebut turut menyatakan bahawa melalui pendekatan inklusif dan terbuka Perdana Menteri, Kerajaan GRS berjaya memperoleh 13 daripada 29 tuntutan MA63 daripada Kerajaan Persekutuan.
Menegaskan pendirian GRS dalam “pencarian mutlak dan tidak berkompromi” terhadap hak perlembagaan Sabah, kenyataan itu menambah bahawa gabungan tersebut akan terus bertindak bagi pihak lebih tiga juta rakyat Sabah untuk memastikan semua manfaat di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63 dilaksanakan sepenuhnya.
“Kemenangan ini bukan sekadar angka dalam lembaran imbangan. Ia berkaitan dengan memulihkan keyakinan terhadap keadilan bagi setiap rakyat Sabah yang telah lama disuruh menunggu — tahun demi tahun — untuk mendapatkan keperluan asas yang dinikmati rakyat Malaysia lain selama berdekad-dekad,” katanya.
“Ia tentang memastikan tiada kampung yang terus bergelap, tiada sekolah tanpa kemudahan sempurna, dan tiada komuniti yang tercicir hanya kerana dana yang sepatutnya menjadi hak Sabah tidak pernah sampai.”
Majlis itu menegaskan bahawa tuntutan Sabah bukanlah permintaan, tetapi hak — satu tanggungjawab perlembagaan yang mengatasi kerajaan dan penggal politik.
“Menegakkannya membuktikan bahawa Malaysia ditadbir berasaskan undang-undang dan niat baik, bukan atas dasar keselesaan,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden GRS turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengambil peluang ini untuk menyembuhkan luka akibat puluhan tahun pengabaian terhadap Sabah.
“Biarlah ini menjadi detik di mana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji-janjinya, tetapi juga mula memulihkan rasa terpinggir yang dirasai rakyat Sabah sejak sekian lama. Perdana Menteri akan dikenang oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang benar-benar mengambil berat,” katanya.


























